Dua maut nahas 10 kenderaan bawah jejambat

Kemalangan membabitkan 10 kenderaan mengakibatkan dua penunggang motosikal maut.
Kemalangan membabitkan 10 kenderaan mengakibatkan dua penunggang motosikal maut.
A
A
A

SUNGAI PETANI - Dua maut manakala enam lagi cedera dalam kemalangan melibatkan sebuah lori dan sembilan motosikal di bawah jejambat KM92.8 Lebuhraya Utara Selatan arah Selatan, dekat Sungai Petani hari ini.

Mangsa, terselamat, Mohd Aminnudin Yusof, 38, berkata, ketika kejadian, dia bersama lapan penunggang motosikal lain sedang berteduh di bawah jejambat berikutan hujan lebat, kira-kira jam 2.40 petang di Kilometer 92.8 Lebuhraya Utara Selatan.

Menurutnya, ketika kejadian, dia sedang dalam perjalanan dari rumahnya di Guar Chempedak menghala ke tempat kerja di Pulau Pinang sebelum singgah berteduh di lokasi kejadian untuk memakai baju hujan.

"Ketika kejadian saya turun dan berada di laluan tepi untuk pakai baju hujan dan tiba-tiba dengar bunyi dentuman kuat," katanya.

Menurut Mohd Aminuddin, motosikalnya adalah kenderaan pertama dirempuh lori terbabit sebelum lapan lagi yang berhenti bawah jejambat turut menjadi mangsa.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Kuala Muda Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, setakat ini, dua maut, enam lagi dilaporkan cedera manakala tiga tidak mengalami kecederaan.

Menurutnya, siasatan awal di tempat kejadian mendapati kesemua sembilan buah motosikal berada di lokasi kejadian kerana mencari tempat berteduh dari hujan lebat dan tidak mengenali di antara satu sama lain.

Artikel Berkaitan:

Sebuah lori datang secara tiba-tiba sebelum merempuh sembilan buah motosikal yang berteduh bawah jejambat.
Sebuah lori datang secara tiba-tiba sebelum merempuh sembilan buah motosikal yang berteduh bawah jejambat.

"Kedudukan kesemua motosikal yang terlibat diletakkan secara dua lapis di lorong kecemasan dan kesemua penunggang berada di sisi kenderaan masing-masing.

"Secara tiba-tiba sebuah lori yang bergerak di lorong kiri datang dari arah belakang telah merempuh kesemua motosikal yang sedang berhenti di jejambat tersebut,"katanya.

Akibat kemalangan, dua penunggang motosikal dikenali sebagai Mohd Amirul Ismail, 28, dari Kampung Seberang Chegar, Anak Bukit dan Muhammad Khairul Azwan Maula Hashim, 31, dari Taman Seri Marina, Kuala Kedah meninggal dunia akibat parah di kepala.

Mayat dibawa ke Unit Forensik Hospital Sultan Abdul Halim Sungai Petani untuk ujian saringan Covid-19 dan dibedah siasat bagi mengetahui punca kematian.

Menurut Adzli, tangkapan telah dilakukan ke atas pemandu lori berusia 28 tahun dan permohonan reman akan dibuat pada pagi Selasa.

Katanya, ujian saringan awal air kencing terhadap lelaki itu didapati negatif dan ujian EBA II juga didapati bebas daripada alkohol.

Kes disiasat bawah Sek 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut masih diteruskan.

Video dan foto berhubung kejadian tular di media sosial menunjukkan beberapa penunggang sedang menanggung kesakitan selain terdapat mangsa berlumuran darah.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!