Pesara guru temui ajal dalam kereta
SUNGAI BESAR - Seorang pesara guru sempat memuat naik sebuah gambar dalam akaun Facebooknya, dua jam sebelum menemui ajal dipercayai akibat serangan jantung di hadapan rumahnya di Jalan Sungai Limau, di sini, pagi tadi.
Abu Hanip Dollah, 60, memuat naik gambar kenangan di media sosial itu kira-kira jam 6 pagi.
Dalam kejadian kira-kira jam 8 pagi itu, Abu Hanip meninggal dunia di tempat kejadian selepas kereta Honda City dipandu terbabas lalu melanggar tiang elektrik.
Abu Hanip yang baru memandu kira-kira lima meter dari rumahnya itu turut membawa isteri, Foziah Ahmad, 65, untuk ke pasar pagi membeli barangan keperluan.
Anak bongsunya, Mohammad Haziq, 24, berkata, arwah bapanya itu sempat membeli sarapan pagi buat mereka sekeluarga selepas Subuh.
"Walaupun hujan, abah tetap keluar beli nasi lemak sebelum temankan mak ke pasar," katanya.
Mohammad Haziq berkata, kejadian berlaku sewaktu dia tidur di ruang tamu sebelum menyedari ibu bapanya keluar ke pasar.
"Saya terdengar jeritan mak beritahu supaya hubungi talian kecemasan. Bila saya keluar rumah, nampak abah dah kaku di tempat duduk pemandu," katanya.
Menurutnya, bapanya yang pernah mengajar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Bedena tidak mempunyai sejarah penyakit jantung.
Mohammad Haziq memberitahu, dia baru tiga bulan menetap di kampung bersama seorang lagi kakaknya, Nur Farahiyah Hanan, 27, yang mengajar di sebuah tadika swasta.
"Kami hanya tinggal berempat di rumah ni, adik-beradik lain dah berkeluarga. Tak sangka, dalam kegembiraan pulang ke kampung, saya terpaksa terima hakikat kehilangan insan tersayang," katanya yang baru menamatkan pengajian peringkat Ijazah Sarjana Muda dalam Kejuruteraan Pembuatan di Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM).
Sementara itu, jenazah Abu Hanip dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Jemaah (HTAJ) Sabak Bernam dan dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sungai Limau selepas urusan bedah siasat selesai.
Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Deputi Superintendan Lim Chee Khoon mengesahkan kejadian.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!