Ibu bapa perlu jujur jika anak duduki SPM dijangkiti Covid-19

Gambar hiasan - Foto Bernama
Gambar hiasan - Foto Bernama
A
A
A

KETIKA peperiksaan SPM sedang berlangsung ketika ini, muncul satu nota pesanan yang agak serius dalam WhatsApp PIBG memohon ibu bapa jujur memberitahu pihak sekolah sekiranya anak di bawah jagaannya positif Covid-19.

WhatsApp mengandungi lebih 200 perkataan itu menyatakan kekesalan kerana terdapat seorang pelajar yang positif Covid-19 hadir ke sekolah menduduki peperiksaan berkenaan dalam keadaan semua ahli keluarganya juga positif.

Jelas pengadu yang juga salah seorang ibu, keadaan itu secara tidak langsung menyebabkan anaknya bersama rakan-rakan lain menjadi kontak rapat dan terpaksa menduduki peperiksaan pada Khamis lalu dalam keadaan kuarantin.

Keadaan itu juga mengganggu emosi anaknya dan rakan-rakan lain yang sepatutnya menumpu perhatian kepada kertas Bahasa Inggeris pada minggu lalu.

Bagi Merak Jalanan, kebimbangan ibu bapa berkenaan ada kewajarannya. Sepatutnya ibu bapa pelajar yang disahkan positif Covid-19 perlulah memaklumkan kepada pihak sekolah supaya tindakan susulan boleh diambil agar perjalanan peperiksaan berkenaan tidak terjejas.

Dengan angka kes yang tinggi menjangkau lebih 20,000 sejak minggu lalu dan tempoh peperiksaan yang masih panjang, semua ibu bapa perlu telus mengenai isu Covid-19 ini.

Apa pun, Kementerian Pendidikan menjelaskan jika calon SPM positif Covid-19, mereka tidak perlu risau. Mereka boleh menduduki peperiksaan dalam sidang kedua yang akan dilaksanakan pada April nanti.

Sehubungan itu, Merak Jalanan berharap agar kita semua bukan sahaja memastikan kesihatan anak-anak terjaga, malah turut bekerjasama supaya peperiksaan penting yang sedang berlangsung sekarang tidak terganggu.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!