Lapor polis sekiranya ada pihak halang keluar mengundi

Anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) beratur untuk menunaikan tanggungjawab dengan mengundi awal bagi PRN Johor ke-15 di Dewan Dato Onn, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor, pada Selasa. Foto Bernama
Anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) beratur untuk menunaikan tanggungjawab dengan mengundi awal bagi PRN Johor ke-15 di Dewan Dato Onn, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor, pada Selasa. Foto Bernama
A
A
A

JOHOR BAHRU - Orang ramai diminta membuat laporan polis sekiranya terdapat cubaan daripada mana-mana pihak untuk menghalang mereka keluar mengundi bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, Sabtu ini.

Ketua Polis Johor Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, pihaknya juga akan sentiasa membuat pemantauan termasuk melihat jumlah kehadiran orang ramai semasa hari mengundi.

"Beritahu polis (sekiranya ada pihak menghalang) dan kita akan pastikan bahawa perjalanan (mengundi) dipantau.

"Kita pantau daripada segi jumlah kehadiran, apabila sudah sampai tengah hari, tengok kenapa orang tidak hadir, atas apa sebab kita akan semak, sama ada terdapat halangan dan sebagainya,” katanya dalam sidang media selepas meninjau proses pengundian awal PRN Johor di Dewan Dato’ Onn, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini pada Selasa.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai tindakan yang akan diambil sekiranya terdapat individu yang dihalang oleh mana-mana pihak untuk keluar mengundi.

Kamarul Zaman berkata, orang ramai juga diminta memberikan maklumat kepada pihak polis sekiranya terdapat halangan lain seperti kawasan mereka dilanda banjir kilat.

"Sekarang ini (apabila) petang selalu hujan dan dikhuatiri (boleh berlaku) banjir kilat. Jadi kita perlu kerjasama daripada masyarakat untuk maklum kepada kita, sekiranya mereka terhalang untuk ke pusat mengundi (sila) beritahu kita segera,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, seramai 11,500 anggota dan pegawai polis serta pasangan di negeri ini terlibat dengan pengundian awal PRN Johor di 83 saluran pada hari ini, dengan 1,500 daripadanya mengundi di Dewan Dato’ Onn.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata proses pengundian berjalan agak perlahan awal pagi tadi berikutan hujan, namun berjalan lancar dua jam kemudian selepas cuaca kembali cerah.

"Kita tidak dapat pastikan jumlah sebenar (keluar mengundi ketika ini) tetapi kita akan kemas kini dari semasa ke semasa,” katanya. - Bernama


Ikuti perkembangan semasa #PRNJohor dan kenali calon anda menerusi pru.sinarharian.com.my


Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!