Perang Rusia-Ukraine: Minyak sawit mungkin penyelesaian gorengan
KUALA LUMPUR - Kalangan pembuat makanan perlu mendapatkan minyak makan dari zon lain untuk mengelakkan kerugian, sekali gus minyak sawit mungkin menjadi penyelesaian sebagai pilihan untuk gorengan, menurut Majlis Negara-negara Pengeluar Minyak Sawit (CPOPC).
Badan itu menjelaskan ini berikutan krisis Rusia-Ukraine dilihat amat mengekang ketersediaan minyak bunga matahari untuk pelbagai kegunaan.
Perunding CPOPC, Datuk Dr Kalyana Sundram berkata kuasa pasaran, khususnya di rantau Asia dan Timur Tengah telah memberi isyarat untuk perubahan ini.
Beliau berkata bagi pembuat makanan, ia merupakan prosedur pertukaran yang mudah memandangkan terdapat banyak data yang telah tersedia mengenai cara terbaik untuk menggunakan semula olein sawit secara tunggal atau digabungkan dengan fraksi sawit lain bagi industri makanan gorengan dan snek.
"Bagaimanapun untuk sektor Eropah, hanya terdapat satu isu tambahan yang timbul dan ia perlu ditangani. Sebilangan besar produk dengan label ‘No Palm Oil’ (Tiada Minyak Sawit) perlu membuat perubahan bertentangan, dan menggunakan olein sawit untuk kualiti yang bernilai baik dan perlu jelas dalam penggunaannya.
"Justeru, mereka mempunyai tugas untuk menjelaskan kepada pengguna mengenai tindakan mereka kembali kepada minyak sawit susulan peristiwa dunia yang sedang berlaku,” katanya menerusi blog yang disiarkan laman web CPOPC.
Ukraine dan Rusia merupakan pengeluar utama minyak bunga matahari dunia, masing-masing menyumbang 7.3 juta tan dan 5.8 juta tan pada 2020.
Kedua-dua negara ini menyumbang gabungan hampir 73 peratus kepada perdagangan eksport minyak bunga matahari.
Beliau berkata dari segi keseluruhan penggunaan minyak dan lemak, minyak bunga matahari lazimnya menyumbang kira-kira 9.0 peratus kepada penggunaan global dan hampir keseluruhan kuantum digunakan sebagai komoditi makanan.
Kalyana turut memberi jaminan dalam bentuk bantuan daripada badan seperti CPOPC untuk langkah tersebut, dan pihaknya akan menyokong setiap kenyataan mengenai olein sawit dalam penggunaan itu dengan mengemukakan bukti saintifik yang kukuh.
Beliau berkata, olein sawit masih mempunyai kelebihan berbanding minyak bunga matahari oleik tinggi, dengan bukti rekod prestasi berkaitan kestabilan oksidatif yang lebih tinggi.
Olein sawit amat kurang terdedah kepada penghasilan perisa bukan semula jadi oksidatif atau yang mencapai standard setelah didorong kemerosotan atau pencemaran, selain kos yang lebih rendah berbanding minyak bunga matahari, katanya.
Beliau berkata bekalan olein sawit juga lebih terjamin dan tidak terkesan, sejak dari awal, dengan ketidakpastian yang berlaku dalam kalangan peladang bunga matahari mengenai berapa banyak bunga matahari oleik tinggi baharu yang mereka perlu tanam untuk memastikan pulangan saksama yang lebih tinggi untuk hasil mereka.
"Bagaimanapun, serangan hebat antisawit berat sebelah oleh pertubuhan bukan kerajaan, khususnya mengenai amalan penanaman sawit, kemampanan dan prestasi alam sekitar serta menjejaskan pasaran yang memihak kepada minyak bunga matahari oleik tinggi, telah menimbulkan kemarahan pengguna terhadap sawit.
"Pastinya, kempen antiminyak sawit ini memberi kesan besar terhadap industri pembuatan makanan dan kami secara progresif mendapati pelbagai produk diformulasikan semula dengan minyak bunga matahari oleik tinggi menggantikan olein sawit dan kemudan muncullah lebih 2,500 label makanan Eropah yang mendakwa 'No Palm Oil’ (Tiada Minyak Sawit) atau versi Perancis, 'Sans Huile de Palm',” katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!