KPKT rancang tutup tapak pelupusan sisa pepejal terbuka
KUALA LUMPUR - Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) melalui Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara merancang untuk menutup tapak pelupusan sisa pepejal terbuka sedia ada di negeri yang terpakai kepada Akta Pengurusan Sisa Pepejal Dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672).
Menterinya, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, tapak pelupusan terlibat akan digantikan dengan stesen pemindahan yang berfungsi sebagai pusat pengumpulan sisa di kawasan strategik sebelum dilupuskan.
"Sisa pepejal akan dihantar ke stesen tersebut sebelum dilupuskan ke tapak pelupusan sisa pepejal sanitari berpusat, yang dilengkapi dengan loji rawatan air larut resap, lapisan liner dan sebagainya bagi memastikan kelestarian alam sekitar.
"Selain itu, kementerian juga merancang membina loji rawatan sisa pepejal ’Waste to Energy’ (WTE) di negeri yang menerima pakai Akta 672 bagi mengatasi isu kekurangan tapak bersesuaian bagi membina tapak pelupusan sanitari,” katanya di Dewan Rakyat pada Selasa.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Wan Hassan Mohd Ramli (Pas-Dungun) mengenai perancangan KPKT untuk mengurangkan penggunaan tapak pembuangan sisa pepejal terbuka agar dapat meminimumkan impak negatif terhadap alam sekitar.
Mengulas lanjut Reezal Merican berkata, projek loji WTE tidak terhad kepada teknologi insinerator malah boleh menggunakan teknologi lain seperti Anaerobic Digestor (AD), pirolisis, gasifikasi dan sebagainya.
Menjawab soalan tambahan Cha Kee Chin (PH-Rasah) mengenai jumlah kawasan pelupusan sisa pepejal mengikut jenis di Negeri Sembilan serta teknologi yang digunakan di loji WTE, Reezal Merican menjelaskan, loji itu di Tanah Merah, Port Dickson dijangka beroperasi tahun ini.
"Negeri Sembilan adalah antara negeri terawal diperkenalkan dengan loji WTE dan yang pertama beroperasi bagi percubaan dan commissioning tahun ini.
"Jika ada teknologi lain yang boleh menyumbang kepada mengurangkan sisa di tapak pelupusan, KPKT sedia dan terbuka untuk mempertimbangkannya,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!