Jangan terpedaya janji manis DAP

Swee Bok (dua dari kiri) bersama pimpinan MCA Pulau Pinang menunjukkan senarai 14 janji yang gagal dilaksanakan oleh DAP sepanjang 14 tahun memerintah Pulau Pinang.
Swee Bok (dua dari kiri) bersama pimpinan MCA Pulau Pinang menunjukkan senarai 14 janji yang gagal dilaksanakan oleh DAP sepanjang 14 tahun memerintah Pulau Pinang.
A
A
A

GEORGETOWN - Pengundi di Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor diingatkan supaya tidak terpedaya dengan Pakatan Harapan (PH) terutamanya DAP yang menawarkan pelbagai janji manis semata-mata mahu menarik perhatian.

Ketua Pemuda MCA Pulau Pinang, Lim Swee Bok berkata, pengundi di Johor seharusnya mengambil iktibar yang berlaku di Pulau Pinang selepas 14 tahun negeri ini diperintah oleh DAP.

Menurutnya, sempena ulang tahun ke-14 pemerintahan DAP di Pulau Pinang pada 8 Mac, pihaknya menyenaraikan 14 janji kosong yang pernah ditawarkan parti itu namun sehingga hari ini gagal dilaksanakan.

"Pada 2011 kerajaan negeri mengumumkan akan membelanja RM6.3 bilion untuk membina terowong dasar laut dan telah melantik sebuah syarikat untuk melaksanakan tiga projek lebuh raya dan terowong bawah laut.

"Namun, selepas kerajaan negeri memberi tanah kepada pemaju untuk membina pangsapuri mewah, terowong dasar laut telah 'hilang' malah bekas Ketua Menteri, Lim Guan Eng juga terpalit dalam kes rasuah membabitkan pembinaan terowong tersebut," katanya pada sidang akhbar di sini pada Selasa.

Swee Bok berkata, antara janji lain yang gagal ditunaikan seperti memansuhkan Tol Sungai Nyior, membina aerobus merentasi bahagian pulau dan Seberang Perai serta menyediakan lorong bas khusus di negeri ini untuk menggalakkan rakyat menggunakan perkhidmatan awam.

Jelasnya, lebih mendukacitakan apabila PH berjanji sekiranya mereka dapat mentadbir negara pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu mereka akan memansuhkan tol Jambatan Pulau Pinang namun selepas berjaya memerintah di Putrajaya mereka gagal berbuat demikian dengan memberi alasan manifesto yang disediakan bukan kitab suci dan tidak perlu mengotakan janji.

"Kerajaan negeri juga sebelum ini mahu melaksanakan Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang bagi menyelesaikan masalah kesesakan lalu lintas di Pulau Pinang namun sehingga hari ini satu jalan pun belum dibina.

Artikel Berkaitan:

"Rupanya Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang bernilai RM46 bilion adalah satu lagi pembohongan DAP sahaja, "katanya.

Dalam pada itu, Swee Bok turut menyenaraikan beberapa pelaksanaan program kerajaan negeri yang gagal yang melibatkan peruntukan jutaan ringgit sebelum ini.

Katanya, antara program yang dilihat sia-sia seperti program Wifi Percuma Pulau Pinang yang membelanjakan kira-kira RM8.5 juta pada 2012 namun perkhidmatan itu dihentikan sepenuhnya pada 2019.

Selain itu beliau berkata, banyak produk pelancongan antarabangsa yang diisytiharkan telah gagal satu demi satu dan menjadi bahan lawak ketawa antarabangsa.

"Antara produk pelancongan antarabangsa yang dijanji oleh kerajaan negeri DAP termasuk Pertandingan Raja Tenis, Taman Buaya, Taman Harimau No.1 di Asia, Festival Muzik No. 1 di Malaysia, taman air terbesar di Asia, mural terpanjang ( Lukisan di Komtar), Taman Pengembaraan Liar Dunia Basah pertama di Asia Tenggara dengan kos RM3 juta.

"Bagaimanapun tiada satu yang telah dicapai seperti yang dirancang dan hanya tinggal janji kosong semata-mata," katanya.

Beliau berkata, pada 2009, Guan Eng pernah berjanji tidak akan menaikkan tarif air, tetapi dalam tempoh 14 tahun ini, kenaikan tarif dan surcaj air yang dilaksanakan kerajaan DAP Pulau Pinang sebanyak empat kali.

Tambahnya Pada 2014, Guan Eng juga berkata cukai pintu, yuran lesen perniagaan, yuran perkhidmatan dan cukai tanah tidak akan dinaikkan namun apa yang berlaku sebaliknya apabila semua cukai telah meningkat pada hari ini hingga membebankan rakyat Pulau Pinang.


Ikuti perkembangan semasa #PRNJohor dan kenali calon anda menerusi pru.sinarharian.com.my


Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!