NGO serah memorandum kepada MAIM isu undang-undang syariah

Khir Razlan ((tiga dari kiri) bersama beberapa wakil NGO Islam Melaka menyerahkan memorandum kepada Muhammad Ikram (dua dari kiri) di Bukit Palah pada Selasa.
Khir Razlan ((tiga dari kiri) bersama beberapa wakil NGO Islam Melaka menyerahkan memorandum kepada Muhammad Ikram (dua dari kiri) di Bukit Palah pada Selasa.
A
A
A

MELAKA - Pertubuhan bukan kerajaan (NG0) Islam negeri Melaka menyerahkan memorandum kepada Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) berhubung isu penghakiman mahkamah yang tidak patuh syariah.

Pengerusi Gabungan NGO Islam Melaka, Dr Khair Razlan Othman berkata, memorandum itu sebagai salah satu usaha untuk menambah baik sistem perundangan syariah negara.

Menurutnya, turut disertakan dalam memorandum itu adalah cadangan terhadap apa yang boleh dilakukan MAIM bagi kes mahkamah yang menghakis kedudukan perundangan syariah.

"Kami sangat berharap MAIM dapat memainkan peranan proaktif dalam cabaran perundangan syariah.

"Sekiranya tiada tindakan tuntas dibuat sekarang kita bimbang padah yang lebih besar akan menimpa umat Islam," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyerah memorandum kepada Setiausaha MAIM, Muhammad Ikram Ibrahim di Bangunan MAIM, Bukit Palah di sini pada Selasa.

Hadir sama Mufti Negeri, Datuk Halim Tawil dan wakil Gabungan Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (Pembela) Melaka, Syed Mohd Aizuddin Tuan Sembak.

Mengulas lanjut, Khir Razlan turut meminta MAIM memastikan jawatankuasa teknikal yang sedia ada mengkaji semula undang-undang Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang syariah negeri agar ia ditambah baik atau dipinda untuk tidak memberi ruang kepada sebarang cabaran serta kekurangan pada masa akan datang.

Artikel Berkaitan:

Beliau juga berharap agensi dapat berusaha mendapatkan perkenan Yang Dipertuan Agong bagi menetapkan Perlembagaan Persekutuan versi Bahasa Melayu sebagai rujukan utama dalam proses kehakiman dan perundangan.

"Ini bagi menggantikan versi Bahasa Inggeris yang ada sekarang sejajar dengan Perkara 160 B Perlembagaan Persekutuan.

"Malah menaikkan taraf jawatankuasa teknikal sebagai sebuah suruhanjaya sepenuh masa yang bebas bagi memastikan kelancaran proses mensyariahkan perundangan negara," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!