Dua lelaki ditahan edar dadah
TANAH MERAH - Polis menahan dua lelaki dipercayai mengedar dadah jenis syabu di tepi jalan di Kampung Sungai Salak, Jalan Pasir Mas di sini pada Ahad.
Kedua-dua suspek berusia 24 tahun itu ditahan dalam serbuan pada jam 3.30 petang.
Ketua Polis Daerah Tanah Merah, Deputi Superintendan Zainuddin Md Yusuf berkata, bertindak atas maklumat awam, sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kelantan dan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Tumpat memeriksa sebuah kereta jenis Proton Wira yang berhenti di tepi jalan.
Menurutnya, ketika itu, dua lelaki yang berada dalam kereta berkenaan cuba melarikan diri dan enggan keluar dari kenderaan, namun mereka berjaya ditahan selepas berlaku pergelutan.
“Pemeriksaan lanjut dalam kereta menjumpai sebuah beg berisi sebungkus plastik mengandungi ketulan kristal dipercayai dadah jenis syabu dianggarkan seberat satu kilogram bernilai RM36,000.
"Siasatan lanjut dijalankan bagi mengenalpasti pembekal dan penerima dadah yang dirampas,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Katanya, dua suspek itu ditahan reman selama tujuh hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana mengedar dadah.
Sebarang maklumat berkaitan dengan gejala dadah boleh disalurkan di talian hotline JSJN 012-2087222.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!