Lapor segera jika terlihat kelibat gajah
JERANTUT - Penduduk kampung diingatkan agar segera melaporkan kepada pihak berkuasa jika memiliki sebarang maklumat mengenai kehadiran gajah liar di kawasan masing-masing.
Pengerusi Gajah Liar Pahang, Datuk Nazri Ngah berkata, tindakan itu perlu dilakukan agar kehadiran haiwan liar itu di kawasan penempatan penduduk dapat ditangani.
Menurutnya, setiap kali kehadiran gajah dikesan, pihak Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) akan dikerahkan untuk membuat kawalan serta memindahkan haiwan terbabit ke tempat selamat.
"Setakat ini, sebanyak 14 ekor gajah berjaya dipindahkan bermula tahun 2017 hingga Februari baru-baru ini.
"Selain itu, kita juga telah membuat zon penampan di kawasan Bukit Awan dekat Kuala Sat yang diserang gajah dengan menyediakan makanan gajah iaitu napier.
"Kawasan seluas 80 hektar itu ditanam napier supaya gajah boleh mendapatkan sumber makanan dan tidak memasuki kawasan lain dan perkara itu dikendalikan sebuah syarikat yang dilantik dari Terengganu," jelasnya.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Tawar berkata demikian selepas Majlis Penyampaian Biasiswa Sekolah Menengah (BSM) dan Biasiswa Sekolah Rendah (BSR) Yayasan Pahang DUN Pulau Tawar di Dewan Terbuka Mat Kilau di sini pada Selasa
Mengulas lanjut, Nazri berkata, insiden serangan haiwan liar itu di kawasan terbabit berlaku disebabkan habitat mereka telah diganggu.
Dalam pada itu, beliau turut memberitahu, sebanyak RM1 juta telah diperuntukkan dalam bajet kerajaan negeri bagi membantu mereka yang terjejas menerusi pemberian ganti rugi akibat ancaman haiwan tersebut selain kos bagi tujuan pemindahan haiwan liar terbabit.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!