Bekas pengarah didenda RM24,000
IPOH - Seorang bekas pengarah syarikat hanya dikenakan hukuman penjara selama dua minggu setelah mengaku bersalah di atas enam pertuduhan kerana memalsukan dokumen di Mahkamah Sesyen Ipoh, hari ini.
Bagaimanapun, tertuduh, Thai Wai Kuan, 51, berdepan denda RM24,000 bagi kesemua pertuduhan yang dikenakan ke atasnya.
Mengikut pertuduhan, Wai Kuan pada tarikh 4 Januari 2011 hingga 28 Disember 2013 di Pejabat Metalpac Sdn Bhd telah memalsukan dokumen Weighing Slip Siputeh Sawit Sdn Bhd dengan niat supaya dokumen palsu itu digunakan untuk menipu syarikat Camfill Farr Malaysia.
Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 468 Kanun Keseksaan yang menetapkan hukuman penjara tidak kurang tujuh tahun dan boleh dikenakan denda.
Wai Kuan yang diwakili peguam, Mohd Fadly Hashim kemudiannya merayu mahkamah memberikan hukuman paling minimum kerana anak guamnya sudah menyatakan kekesalan dan menutup syarikatnya.
Hakim S Indra Nehru kemudiannya menetapkan hukuman penjara selama dua minggu dan denda RM4,000 bagi setiap pertuduhan.
Bagaimanapun jika denda tersebut gagal dibayar, tertuduh akan dikenakan hukuman penjara selama enam bulan.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa SPRM, R Kumuthambal.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!