Kiosk bantuan MySejahtera di Johor dibuka minggu ini

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

JOHOR BAHRU - Perkhidmatan Kiosk Bantuan MySejahtera akan diadakan di Johor di dua lokasi berbeza iaitu di sini dan Muar, mulai esok (Rabu) sehingga Ahad.

MySejahtera menerusi ciapan di akaun Twitternya mengumumkan kiosk itu akan beroperasi di Dewan Muafakat Taman Adda Height di sini dari 9 hingga 11 Mac, manakala di Dewan Maharani, Muar pada 13 Mac.

Kedua-dua kiosk berkenaan akan dibuka mulai 9 pagi hingga 5 petang dan sebanyak 800 tiket akan dikeluarkan setiap hari.

Kiosk Bantuan MySejahtera merupakan inisiatif secara jumpa terus bagi membantu pengguna MySejahtera yang mengalami masalah atau pertanyaan berhubung aplikasi berkenaan.

Sebelum ini, perkhidmatan tersebut telah diadakan di Lembah Klang dan akan diteruskan lokasi tertentu di seluruh negara bermula dengan Johor, manakala tarikh dan lokasi untuk kiosk tersebut di Melaka, Negeri Sembilan dan negeri lain akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.

Orang ramai diingatkan supaya membawa kad fizikal vaksinasi serta dokumen berkaitan, manakala individu di bawah Perintah Pengawasan dan Pemerhatian (HSO) termasuk yang mempunyai masalah notis HSO tidak dibenarkan masuk.

"Perkhidmatan ini tidak termasuk isu mengenai sijil vaksinasi di bawah di bawah Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Industri,” menurut hantaran tersebut. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!