Penduduk rugi lebih RM690,000 angkara banjir termenung
TUMPAT - Polis di daerah menerima sejumlah 311 laporan daripada penduduk berkaitan kemusnahan harta benda, tanaman dan ternakan akibat fenomena banjir termenung yang dianggarkan bernilai RM690,358.
Ketua Polis Daerah Tumpat, Superintendan Mohd Azmir Damiri berkata, laporan kemusnahan dan kerosakan diterima melibatkan 10 kampung di kawasan Pengkalan Kubor di sini akibat hujan lebat di kawasan-kawasan itu yang bermula pada 28 Februari lalu.
Katanya, hujan lebat menyebabkan limpahan air Sungai Golok yang kemudian menjadi banjir termenung melebihi lima hari.
“Laporan yang diterima kesemuanya membabitkan kerosakan kediaman, kenderaan, tanaman dan ternakan yang keseluruhannya dianggarkan bernilai RM690,358.
“Dalam tempoh banjir termenung ini tidak ada laporan berkaitan kes kecurian kerana polis sendiri mengadakan rondaan dengan bot selain pemilik rumah menjaga rumah mereka ketika ahli keluarga lain berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS),” katanya kepada pemberita selepas Gotong-royong Pasca Banjir Membersihkan Balai Polis Kuala Jambu pada Selasa.
Hadir sama, Ketua Balai Polis Kuala Jambu, Sarjan Mejar Nik Mohd Nazri Nik Jaafar.
Beliau berkata, fenomena banjir tersebut disifatkan lebih buruk berbanding tahun-tahun sebelumnya hingga pekarangan Balai Polis Kuala Jambu dinaiki air hingga mencecah 1.5 meter.
“Polis di balai itu bagaimanapun dapat mengelak daripada kerosakan yang banyak kerana persiapan dan tindakan pantas memindahkan dokumen penting, senjata api serta peralatan pejabat lebih awal sebaik menyedari paras air sungai meningkat.
“Perabot dipindahkan ke tempat selamat dan pada gotong-royong ini hanya perlu mencuci lumpur kesan banjir sahaja,” katanya.
Menurutnya, kerja-kerja pembersihan balai dilakukan dengan kerjasama masyarakat awam melibatkan tujuh anggota dan 10 sukarelawan daripada Group Wakaf Bharu.
“Kerja pembersihan berjalan lancar bermula jam 8.30 pagi walaupun kekurangan dua anggota balai yang kuarantin kerana positif Covid-19.
“Operasi balai tetap diteruskan dan polis menerima aduan serta laporan walaupun sepanjang balai ditenggelami banjir kerana operasi dilakukan di tempat yang lebih tinggi dan selamat,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!