Demi Harimau Malaya, Harimau Muda
SAINGAN Piala FA musim ini berkemungkinan kejuaraan pertama yang akan dibatalkan dalam kalendar Liga Malaysia (Liga-M) 2022 seandainya penularan kes Covid-19 dalam kalangan pasukan yang bertanding kian meruncing.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bolasepak Malaysia (MFL), Stuart Ramalingam, itu merupakan tindakan terakhir yang akan diambil pengendali Liga-M tersebut bagi memastikan kalendar skuad Harimau Malaya dan skuad Bawah 23 Tahun tidak terkesan dengan jadual padat.
Malah katanya, pembatalan berkenaan diharap dapat membantu skuad kendalian Kim Pan-gon dan Brad Maloney melakukan persiapan lebih rapi bagi mengharungi kejohanan-kejohanan besar tahun ini.
“Secara keseluruhannya, kita memberikan keutamaan kepada persiapan kedua-dua skuad negara yang bakal mengharungi beberapa kejohanan besar tahun ini. Oleh itu, menjadi keutamaan kita bagi melindungi tarikh-tarikh penting kejohanan yang disertai pasukan Harimau Malaya dan skuad B-23 negara.
“Sekali gus, diharapkan ia dapat membantu kedua-dua skuad negara itu melakukan persiapan lebih rapi bagi mengharungi kesemua kejohanan berkenaan kelak,” katanya kepada Sukan Sinar pada Isnin.
Untuk rekod sebelum ini beberapa saingan Liga-M terpaksa ditangguhkan selepas pemain serta pegawai dalam kalangan pasukan bertanding yang positif Covid-19 antaranya melibatkan aksi Liga Super antara Sri Pahang FC dan Terengganu FC di Kuantan Sabtu lalu.
Selain itu, empat aksi Liga Premier melibatkan Terengganu FC II menentang UiTM FC, Selangor FC II-Skuad Projek FAM/MSN, PDRM FC-Kuching City FC dan Perak FC-Kelantan United turut ditangguhkan.
Mengulas lanjut, Stuart berkata, buat masa ini saingan Piala FA akan berjalan mengikut jadual yang ditetapkan seperti sebelum ini.
Bagaimanapun katanya, sebarang perubahan atau pembatalan perlawanan hanya akan dibuat sekiranya berlaku sebarang penundaan perlawanan secara besar-besaran selepas ini.
“Setakat ini jadual bagi saingan Piala FA akan tetap diteruskan seperti biasa, kecuali jika berlaku sebarang penundaan perlawanan lagi dalam masa terdekat ini,” katanya.
Sementara itu, Stuart menegaskan kemungkinan pembatalan saingan Piala FA itu dibuat dalam usaha memastikan saingan utama melibatkan Liga Super, Liga Premier dan Piala Malaysia dapat berjalan dengan sempurna.
Malah katanya, ia turut diharap dapat membantu bagi melengkapkan kesemua jadual perlawanan yang telah disediakan lebih awal.
“Kemungkinan untuk pembatalan saingan Piala FA ini adalah untuk kita memberikan keutamaan kepada pertandingan-pertandingan yang lebih utama seperti Liga Super, Liga Premier dan Piala Malaysia dapat berlangsung dengan sempurna mengikut jadual.
“Apa pun pembatalan ini bukanlah sesuatu yang kita inginkan, tetapi sekiranya pada musim ini melibatkan terlalu banyak penundaan perlawanan akan menyebabkan kita terpaksa mencari tarikh-tarikh lain bagi melengkapkan jadual perlawanan.
“Mungkin tarikh-tarikh bagi perlawanan-perlawanan Piala FA (yang dibatalkan) nanti boleh digunakan pula untuk tujuan perlawanan-perlawanan yang telah ditunda,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!