Najib akui BN hadapi saingan sengit di kubu kuat Muhyiddin
TANGKAK - Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengakui Barisan Nasional (BN) menghadapi saingan sengit di kubu kuat Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin di Pagoh dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Menurutnya, walaupun sambutan pengundi kepada BN baik tetapi kerja keras perlu bagi memastikan kemenangan parti..
“Sambutan Alhamdulillah, tetapi memang saingan sengit.
“Jawapan saya sama kita tumpukan kepada kerja. Selepas itu kita tengok keputusan,” katanya kepada pemberita selepas bertemu pengundi di Pekan Bukit Gambir pada Selasa.
Dalam pada itu, mengulas mengenai gelombang ‘bossku’ yang mendapat sambutan di Johor, Najib berharap ia dapat diterjemahkan untuk mengundi BN.
“Saya harap semangat 'bossku' diterjemahkan untuk undi BN,” ujarnya.
Bercakap mengenai cabaran debat, Najib mengulangi sindirannya sebelum ini dengan menyatakan beliau sukar untuk berdebat dengan Ketua Penerangan PN, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.
“Saya dah kata, saya susah nak debat dengan orang yang muka tak berapa jelas (dan) kabur.
“Saya cabar berdebat dengan Tan Sri Muhyiddin sebab lebih patut saya debat dengan Tan Sri Muhyiddin,” jelasnya.
Ikuti perkembangan semasa #PRNJohor dan kenali calon anda menerusi pru.sinarharian.com.my
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!