Malaysia masuki fasa endemik mulai 1 April

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (tengah) pada sidang media khas di Bangunan Parlimen hari ini. -Foto Bernama
Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (tengah) pada sidang media khas di Bangunan Parlimen hari ini. -Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan Malaysia akan memasuki fasa peralihan ke endemik mulai 1 April ini.

Ismail Sabri berkata, keputusan itu dibuat setelah mengambil kira pelbagai faktor, melakukan penilaian risiko, mendapatkan pandangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) serta meneliti syor daripada Menteri Kuartet.

“Penting untuk saya maklumkan, fasa peralihan ke endemik ini merupakan 'exit strategy' untuk membolehkan kita semua kembali semula kepada kehidupan yang hampir normal selepas hampir dua tahun berperang dengan Covid-19.

“Fasa ini juga merupakan fasa sementara sebelum negara beralih ke fasa endemik yang mana ia tertakluk kepada pengumuman yang hanya boleh dibuat oleh Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO),” katanya dalam sidang akhbar khas di Parlimen pada Selasa.

Mengulas lanjut Ismail Sabri berkata, had waktu operasi bagi premis perniagaan turut dimansuhkan dan pemilik premis dibenar menjalankan waktu perniagaan mengikut syarat lesen masing-masing pada 1 April ini.

“Ini bermakna anda semua bolehlah makan di kedai makan selepas jam 12 tengah malam, terutamanya pada bulan Ramadan yang akan tiba tidak lama lagi. Bolehlah bersahur di luar.

“Namun pemakaian pelitup muka di tempat-tempat awam masih wajib dipatuhi oleh setiap individu.

“Pendaftaran kemasukan menggunakan MySejahtera juga masih diwajibkan dan hanya dikecualikan untuk kawasan terbuka, tidak sesak dan tiada perhimpunan orang ramai. Tambahan juga, MYSJTrace diwajibkan untuk tempat tertutup yang dipenuhi pengunjung,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu Ismail Sabri turut mengumumkan aktiviti solat berjemaah di masjid atau surau serta upacara sembahyang di rumah ibadat agama lain boleh dilaksanakan tanpa penjarakan fizikal.

Bagaimanapun katanya, pelaksanaan dan prosedur operasi standard (SOP) akhir untuk masjid dan surau tertakluk kepada ketetapan Pihak Berkuasa Agama negeri manakala untuk rumah ibadat agama lain tertakluk kepada Kementerian Perpaduan atau Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR).

“Sebelum ini, terdapat had kapasiti 50 peratus untuk aktiviti yang melibatkan perkumpulan ramai. Dengan pengumuman peralihan ke endemik, had tersebut akan dimansuhkan secara menyeluruh namun penjarakan fizikal masih digalakkan,“ ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!