'Gelembung' dua minggu buat kontinjen Sukan SEA: Mohamad Norza

Mohamad Norza. - Foto Bernama
Mohamad Norza. - Foto Bernama
A
A
A

DEMI menjaga keselamatan dan mengelak wujud kluster Covid-19 dalam kontinjen negara ke Sukan SEA, semua atlet dan pegawai akan berada dalam ‘gelembung’ (bubble) selama dua minggu, sebelum berlepas ke Hanoi, Vietnam.

Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tan Sri Mohamad Norza Zakaria berkata, Majlis Sukan Negara (MSN) akan mewujudkan pengasingan tersebut bagi kira-kira 750 ahli kontinjen negara, yang lazimnya berlepas secara peringkat ke temasya sukan itu.

Berikutan peningkatan mendadak kes varian Omicron sejak kebelakangan ini, beliau berkata, pihaknya perlu mewujudkan protokol bersesuaian memandangkan jumlah atlet bagi temasya dwitahunan itu ramai, berbanding penyertaan di Sukan Olimpik Tokyo 2020, pada tahun lepas.

Beliau berkata, Presiden Persekutuan Snuker dan Billiard Malaysia Melvin Chia dan Setiausaha Agung Persekutuan Gimnastik Malaysia (MGF) Afrita Ariany Nasril, yang dilantik sebagai Timbalan Ketua Kontinjen (CDM) untuk membantu Datuk Nur Azmi Ahmad, turut diminta memberi penekanan khusus bagi protokol mengekang penularan Covid-19.

"Pada ketika kita kekalkan protokol yang betul demi keselamatan, kita juga kekalkan protokol yang betul untuk anti-doping. Saya fiki mereka perlu fikirkan untuk semua (atlet jalani dadah sebelum berlepas), tetapi kosnya bukanlah murah.

"Saya percaya Jawatankuasa perubatan dan anti-doping kami besama Institut Sukan Negara (ISN) akan adakan prosedur dan protokol,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Lembaga Eksekutif MOM di Wisma OCM di Kuala Lumpur pada Selasa.

Mohamad Norza berkata, jumlah kontinjen setakat ini adalah 783 orang (584 atlet dan 199 pegawai), dengan 226 atlet dalam Kategori A (kos ditanggung sepenuhnya) dan 358 atlet bagi Kategori B (kos dipulangkan jika menang pingat).

Menurutnya, saiz sebenar kontinjen negara diketahui selepas tarikh tutup pendaftaran kepada penganjur pada Sabtu ini (12 Mac), dan pihaknya menjangkakan sekitar 750 orang atlet, berikutan masih ada sukan seperti olahraga, renang, e-sukan dan mendayung yang belum disahkan bilangannya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Mohamad Norza berkata, status penyertaan ratu gimnas negara Farah Ann Abdul Hadi juga hanya akan diketahui menjelang Sabtu ini, kerana pihaknya masih menunggu keputusan daripada MGF.

Ditanya mengenai status pemilihan pemain bagi permainan e-sukan ‘FIFA Online 4’ (FO4), beliau berkata, perbincangan masih berjalan selepas Persekutuan Sukan Elektronik Malaysia (MESF) dan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), bersetuju untuk masing-masing menghantar dua atlet.

"Pada awalnya dipersetujui sumbangan 50-50, tetapi perbincangan perkara ini masih berjalan. Pada masa ini kami menyokong perbicangan 50-50 yang sedang berjalan,” katanya.

Mesyuarat pada Selasa juga meluluskan rayuan bagi empat penembak (3 lelaki, 1 wanita), dua penerjun lelaki untuk dinaikkan ke Kategori A, serta kemasukan atlet Kategori B daripada sukan kurash (3 lelaki dan 3 wanita) dan sukan ‘fin swimming’ (1 lelaki).

Selepas membuat dua penampilan berturut-turut di Sukan Olimpik Musim Sejuk di Pyeongchang 2018 dan Beijing 2022, MOM juga berpendapat harus bekerjasama rapat dengan MSN untuk membuat perancangan lebih rapi, supaya ramai lagi atlet negara dapat melayakkan diri ke edisi akan datang, di Milano Cortina 2026. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!