DBKL gerak penguat kuasa bantu lancar aliran trafik

Keadaan jalan di Lebuh Raya Timur Barat. - Foto FB DBKL
Keadaan jalan di Lebuh Raya Timur Barat. - Foto FB DBKL
A
A
A

KUALA LUMPUR - Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menggerakkan jabatan penguat kuasa memasuki jalan-jalan utama bagi melancarkan aliran trafik di ibu negara.

DBKL menerusi kemas kini di Facebook berkongsi perkembangan terkini beberapa jalan mula ditakungi air susulan hujan pada petang Selasa.

Menerusi hantaran itu, antara jalan terlibat termasuk Jalan Kuchai Lama, Lebuh Raya Timur Barat dan Jalan Yaakob Latif yang ditakungi air, namun masih boleh dilalui kenderaan ringan.

"DBKL turut menasihatkan warga kota untuk berhati-hati di jalan raya," menurut kenyataan pada Selasa.

Sementara itu, menerusi ciapan Twitter Terowong SMART memberitahu, sebanyak 70 meter padu sesaat (m3/s) air dari Sungai Klang/ Sungai Ampang telah dilencongkan ke Kolam Takungan Berembang pada mod dua bermula jam 2.58 petang.

Pada jam 2 petang, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) telah mengeluarkan amaran ribut petir dan hujan lebat dijangka berlaku di beberapa kawasan di Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya, Negeri Sembilan, Perak, Kedah dan Sarawak sehingga jam 5 petang Selasa.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!