Penglibatan wanita dalam politik masih rendah, gesa diberi ruang
KUALA LUMPUR - Penglibatan golongan wanita dalam arena politik di negara ini dilihat masih berada pada tahap yang rendah termasuk menjadi wakil rakyat di Parlimen, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Mas Ermieyati Samsudin.
Beliau berkata, sehingga kini matlamat untuk mencapai sasaran 30 peratus wanita dalam Dewan Rakyat belum tercapai.
Mas Ermieyati yang juga Ahli Parlimen Masjid Tanah berkata, bagi tujuan itu, golongan wanita wajar diberikan lebih banyak ruang dalam berpolitik termasuk mengetengahkan mereka sebagai calon untuk bertanding pada pilihan raya.
"Kita perlu membuka ruang agar lebih banyak calon wanita menyertai politik. Kalau ingin calonkan wanita, letak mereka di lokasi yang boleh dimenangi agar tidak membazirkan talent atau bakat mereka. Kelebihan ahli Parlimen wanita ini adalah mereka penyayang, maka isu rakyat begitu dekat dengan diri mereka.
"Sememangnya kita sentiasa laungkan agar golongan wanita terlibat sebanyak 30 peratus di Dewan Rakyat tetapi kita masih jauh daripada matlamat ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjadi panel pada program ‘Bual Bicara Bersama YB’ sempena Sambutan Hari Wanita 2022 Peringkat Parlimen Malaysia yang julung kali diadakan dengan tema ‘Saksama Bersama’ di Bilik Bankuet, Bangunan Parlimen pada Selasa.
Program yang dirasmikan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun itu turut disertai Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), Senator Datuk Ras Adiba Radzi sebagai moderator selain dua panel lain iaitu Ahli Parlimen Batu Kawan, P Kasthuriraani dan Setiausaha Agung Majlis Kebangsaan Pertubuhan-Pertubuhan Wanita Malaysia, Dr Sabariah Baharun.
Sementara itu, Kasthuriraani berkata, sikap stereotaip, khususnya pembunuhan karakter terhadap golongan wanita perlu dihentikan dan usaha memberi kesedaran umum mengenai isu itu perlu diarus perdanakan.
Katanya, ramai wakil rakyat wanita bukan sahaja di Malaysia tetapi di seluruh dunia turut berhadapan cabaran besar iaitu menjadi mangsa ‘pembunuhan’ karakter itu.
"Kerajaan perlu pandang serius berhubung isu ini terutama sekali apabila ada wakil rakyat dan aktivis wanita menjadi mangsa ‘pembunuhan’ karakter termasuk ugutan bunuh, rogol dan lain-lain,” katanya.
Dalam pada itu, Ras Adiba yang juga Ahli Dewan Negara mewakili Orang Kurang Upaya (OKU) berkata, wanita seharusnya menyokong satu sama lain bagi mengubah persepsi umum untuk membuka peluang agar lebih ramai wanita di Parlimen.
"Apa yang penting sekarang kita perlu sentiasa adakan program-program khusus membantu wanita memperbaiki kemahiran sebagai pendekatan untuk mereka mendepani keadaan sukar khususnya ketika pandemik,” katanya.
Program anjuran Parlimen Malaysia itu adalah sebagai pengiktirafan sumbangan dan jasa wanita dalam mendukung dasar kerajaan, selain bakal dijadikan acara tahunan bagi membincangkan topik berkaitan wanita.
Pada masa ini, terdapat 33 kerusi Parlimen diwakili wakil rakyat wanita bersamaan 14.86 peratus daripada jumlah keseluruhan 222 kerusi Parlimen. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!