Kerap hujan punca runtuhan batu kuari
IPOH - Kekerapan hujan dengan taburan yang tinggi dipercayai menjadi punca berlakunya kejadian runtuhan batu kuari yang menimbus dua mangsa di Keramat Pulai, Jalan Simpang Pulai - Cameron Highlands di sini pada Selasa.
Pengarah Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) Perak, Datuk Ahmad Zukni Ahmad Khalil berkata, perubahan cuaca yang tidak menentu dan struktur batu kapur dilihat menjadi faktor kejadian itu berlaku.
"Seperti sedia maklum, batu kapur mengandungi kalsium karbonat yang mudah larut apabila terkena air yang menyebabkan terbentuknya rongga-rongga pada batuan tersebut.
"Ini menyebabkan struktur batuan menjadi lemah dan berlakunya kegagalan muka cerun seterusnya menyebabkan batu runtuh," katanya ketika dihubungi media di sini.
Mengulas lanjut, Ahmad Zukni berkata, pihaknya juga tidak menolak kemungkinan berlakunya pergerakan tanah di lokasi kejadian.
"Berdasarkan kepada keadaan cuaca hujan yang kerap, mungkin akan berlaku lagi runtuhan batuan tersebut," katanya.
Usaha mencari dan menyelamat mangsa dikenali sebagai Kheow Loo Siew Soon, 49 dan Itam Lasoh, 43, ditangguhkan selepas mengesan berlakunya pergerakan tanah di lokasi kejadian.
Dalam kejadian kira-kira jam 9.15 pagi itu, seorang mangsa berusia 35 tahun mengalami patah tulang kaki dan telah dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk menerima rawatan manakala rakannya berusia 38 tahun mengalami cedera ringan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!