Pembelaan Rosmah dalam kes rasuah hanya penafian semata-mata

Rosmah Mansor
Rosmah Mansor
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Pembelaan Datin Seri Rosmah Mansor dalam perbicaraan kes rasuahnya membabitkan projek tenaga solar untuk 369 sekolah luar bandar di Sarawak adalah penafian semata-mata dan gagal menimbulkan keraguan dalam kes itu, kata pihak pendakwaan.

Pihak pendakwaan berkata, mereka telah membuktikan kes terhadap ketiga-tiga pertuduhan melampaui keraguan munasabah terhadap Rosmah, yang merupakan isteri kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Kes pembelaan boleh diringkaskan seperti berikut bahawa tertuduh (Rosmah) adalah mangsa kepada konspirasi yang telah menyebabkan beliau didakwa dan dalang sebenar adalah Datuk Rizal Mansor, Datuk Seri Mahdzir Khalid, Tan Sri Madinah Mohamed, Datuk Seri Alias Ahmad, Rayyan Radzwill Abdullah dan Saidi Abang Samsudin, yang merupakan saksi pendakwaan yang memberi keterangan terhadap Rosmah.

"Kenyataan saksi Rosmah dan keterangannya semasa pemeriksaan semula terdiri daripada kritikan tajam dan pedas terhadap peguam yang mengetuai pendakwaan dan saksi-saksi di atas,” kata pihak pendakwaan dalam penghujahan bertulis yang difailkan di Mahkamah Tinggi di sini pada 4 Mac.

Ia seterusnya berkata pembelaan tertuduh terhadap setiap pertuduhan adalah satu penafian semata-mata dan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kebenaran kes pendakwaan.

Pihak pendakwaan berkata, Rosmah telah menafikan mengarahkan bekas pembantunya Rizal untuk meminta rasuah itu dan persoalan kemudian timbul sama ada Rizal adalah seorang ahli politik yang berpengaruh untuk membuat tuntutan itu.

"Memandangkan kelebihan tertuduh dan berdasarkan fakta pengakuannya sendiri bahawa beliau ‘tidur dengan PM’, sangat mustahil Rizal membuat permintaan untuk dirinya sendiri. Tertuduh juga mencadangkan Rizal menggunakan namanya untuk meminta rasuah. Hakikat bahawa tertuduh menggunakan Rizal untuk meminta rasuah adalah konsisten dengan modus operandinya,” katanya.

Dalam penghujahan di akhir kes pembelaan, pihak pendakwaan berkata, tiada sebab untuk saksi utama, Rayyan Radzwill dan Saidi membuat kes terhadap tertuduh.

Artikel Berkaitan:

"Mengapa Rayyan Radzwill, Saidi dan Rizal bersekongkol untuk mengenakan tertuduh? Tertuduh mendakwa kesemua saksi itu adalah pesalah. Dan untuk menyelamatkan diri atas kesalahan itu, mereka menuding jari kepadanya. Keseluruhannya versi tertuduh dianggap tidak masuk akal.

"Bukti didedahkan selepas RM1.5 juta telah diambil dari bank dan diserahkan kepada tertuduh. Gambaran daripada kejadian itu seperti yang diterangkan oleh Saidi mematahkan sebarang cadangan bahawa beliau sengaja membuat cerita untuk melibatkan tertuduh,” kata pendakwaan sambil menambah ia telah membuktikan tuduhan meminta melampaui keraguan yang munasabah.

Pada 23 Februari lalu, pihak pembelaan menutup kes selepas memanggil dua saksi, Rosmah dan bekas Pengarah Bahagian First Lady of Malaysia (FLOM), Datuk Seri Siti Azizah Sheikh Abod.

Hakim Mahkamah Tinggi, Mohamed Zaini Mazlan menetapkan 5 April untuk mendengar penghujahan lisan daripada pihak pendakwaan dan pembelaan.

Pada 18 Februari tahun lepas, Rosmah, 70, diperintah membela diri atas tiga pertuduhan itu selepas pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadapnya.

Beliau menghadapi satu pertuduhan meminta RM187.5 juta dan dua tuduhan menerima rasuah berjumlah RM6.5 juta daripada bekas Pengarah Urusan Jepak Holdings, Saidi.

Suapan itu didakwa diterima melalui Rizal, sebagai upah membantu Jepak Holdings mendapatkan Projek Bersepadu Sistem Solar Photovoltaic Hibrid serta penyelenggaraan dan operasi Genset atau diesel bagi 369 sekolah luar bandar di Sarawak bernilai RM1.25 bilion secara rundingan terus daripada Kementerian Pendidikan. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!