SOP ulang-alik ke Singapura perlu dimuktamadkan segera
PONTIAN - Prosedur operasi standard (SOP) perjalanan ulang alik harian ke Singapura perlu dimuktamadkan segera ekoran pengumuman pembukaan sempadan negara pada 1 April depan.
Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad berkata perkara itu akan segera dibincangkan dengan kerajaan pusat bagi membolehkan kelancaran perjalanan ulang alik harian menerusi laluan darat Johor dan Singapura
"Kerajaan Johor akan terus menekan kerajaan pusat untuk segera dimuktamadkan SOP bagi mereka yang hendak ulang alik ke Singapura dan Johor.
"Bukan setakat hanya buka sempadan sebaliknya satu perjanjian antara Malaysia-Singapura berhubung perjalanan ulang alik harian kedua-dua negara perlu mencapai kata putus," katanya yang juga calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Benut pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Hasni ditemui selepas mengadakan walkabout dengan menyantuni peniaga dan orang ramai di sekitar Pekan Benut di sini pada Selasa.
Pengerusi BN Johor itu berkata pembukaan sempadan negara bakal merancakkan semula pelbagai sektor ekonomi termasuk pelancongan.
Pada Selasa, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menerusi sidang medianya di Parlimen mengumumkan sempadan negara dibuka bermula 1 April ini
Keputusan itu dibuat berdasarkan tiga perkara asas iaitu panduan sains dan fakta terkini berkaitan Covid-19, membandingkan keperluan pembukaan sempadan di negara lain dan memberikan keselesaan kepada pengembara.
Secara tidak langsung Malaysia bakal menjadi destinasi terbuka dan boleh dikunjungi semua. Dengan pembukaan semula sempadan, rakyat Malaysia yang ada dokumen sah boleh keluar masuk seperti biasa dan boleh pergi ke mana-mana negara yang turut membuka pintu sempadannya.
Kementerian yang berkaitan juga akan mengeluarkan SOP pembukaan sempadan negara secara terperinci dalam masa terdekat.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!