PRN Johor: 87 peratus pengundi awal tunai tanggungjawab

Anggota PGA menunaikan tanggungjawab pada hari mengundi awal bagi PRN Johor di Dewan Serbaguna, Batalion 6 PGA Bakri.- Foto Bernama
Anggota PGA menunaikan tanggungjawab pada hari mengundi awal bagi PRN Johor di Dewan Serbaguna, Batalion 6 PGA Bakri.- Foto Bernama
A
A
A

JOHOR BAHRU - [DIKEMAS KINI] Sebanyak 87 peratus atau 18,625 individu telah melaksanakan tanggungjawab mereka bagi pengundian awal Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang berlangsung pada Selasa.

Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya, Datuk Ikmalrudin Ishak berkata, pengundi awal itu terdiri daripada anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Pasukan Gerakan Am (PGA) serta pasangan masing-masing.

"SPR merakamkan ucapan tahniah dan syabas kepada semua Pegawai Pengurus Pilihan Raya dan pasukan kerana telah menjalankan tanggungjawab dengan amat baik," katanya dalam kenyataan di sini pada Selasa.

Beliau juga menzahirkan penghargaan kepada pihak PDRM, ATM, Kementerian Kesihatan, Majlis Keselamatan Negara, Pihak Berkuasa Tempatan, media dan semua pihak yang terlibat atas segala kerjasama dan sokongan yang diberikan kepada SPR.

Pengundian PRN Johor akan diadakan Sabtu ini.

Dalam kenyataan berasingan, jurucakap Media PRN Johor, Ibu Pejabat Polis Kontinjen negeri, Superintendan Ibrahim Mat Som berkata, seramai 9,775 orang atau 84.3 peratus daripada 11,576 warga PDRM yang berdaftar sebagai pengundi awal telah keluar mengundi di seluruh negeri ini.

Katanya antara sebab peratusan mengundi dalam kalangan anggota polis tidak mencapai 100 peratus adalah disebabkan pengundi dikuarantin akibat dijangkiti Covid-19.

"(Juga kerana) bertukar tempat tugas ke kontinjen lain, bersara, meninggal dunia dan lain-lain sebab yang tidak dapat dielakkan,” katanya menambah tahap keselamatan semasa proses pengundian berjalan dengan aman, lancar serta terkawal. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!