Biar susah, asalkan anak-anak berjaya dalam pelajaran

Kasih sayang Nuriati yang menjaga Yatim walaupun kini suaminya sudah tidak seperti dulu.
Kasih sayang Nuriati yang menjaga Yatim walaupun kini suaminya sudah tidak seperti dulu.
A
A
A

JENGKA - “Ketika itu anak-anak sedang belajar. Ada yang masih kecil dan saya kena ambil alih tugas sebagai ketua keluarga,” kata Nuriati Mohamed Ahyar, 60, dari Felda Jengka 24 di sini.

Nuriati mula menjadi tonggak keluarga sejak 20 tahun lalu selepas suaminya, Yatim Md Som, 67, hilang penglihatan secara beransur-ansur akibat penyakit glaukoma.

Ibu kepada enam anak itu ternyata tabah dengan ujian yang menimpa mereka sekeluarga.

“Siapa tak sedih, selepas berpuluh-puluh tahun hidup bersama, tiba-tiba suami berdepan situasi sebegini. Memang sukar tapi saya kuatkan diri dan mula melakukan pelbagai kerja untuk menampung hidup selain bergantung dengan hasil ladang.

“Antara kerja yang saya lakukan ialah menjadi pembantu di kantin sekolah pada waktu pagi. Petang saya ambil upah kutip buah sawit dan menjahit pada waktu malam,” katanya kepada Sinar Harian di sini baru-baru ini.

Nuriati berkata, semua yang dilakukan itu adalah untuk memastikan anak-anaknya tidak terabai.

“Pernah suatu ketika, tiga anak perempuan saya dapat memasuki universiti serentak. Memang berat, namun saya tetap usahakan untuk sediakan duit kerana itu impian kami untuk melihat anak berjaya.

“Pendidikan anak-anak tetap jadi keutamaan biarpun susah macam mana,” kata anak jati kelahiran Selangor itu.

Artikel Berkaitan:

Berkat usaha, enam anak kepada pasangan itu iaitu Zamzarina, 40, Zamzaizrah, 38, Zamzaafiza, 36, Zamzanizah, 35, Zamzalina, 33, dan Mohd Nor Afsanizam, 29, masing-masing memiliki diploma dan ijazah sarjana muda serta kini berjaya dengan kerjaya pilihan mereka.

Mengimbas kembali kisahnya, Nuriati berkata, dia suami isteri mula memasuki penempatan Jengka 24 pada tahun 1984.

Bagaimanapun, katanya, kehidupan mereka sekeluarga mula berubah pada tahun 2001 selepas suaminya ditimpa penyakit tersebut.

“Suami mengadu kurang nampak dan pernah berdepan kemalangan ketika bekerja membawa lori sawit.

“Suami pada mulanya sangka dia rabun biasa, rupa-rupanya menghidap penyakit glaukoma. Akhirnya selepas beberapa tahun dia mula hilang penglihatan sepenuhnya,” ujarnya.

Nuriati berkata, dia sendiri tidak menyangka kerana perubahan tersebut membuatkannya menjadi lebih berani dan cekal.

“Ketika umur 50 tahun, saya mendapatkan lesen memandu kereta supaya mudah membawa suami ke mana-mana. Saya sendiri tidak sangka boleh juga memandu jauh hingga ke Selangor.

“Pada mulanya saya malu memikirkan usia sudah lanjut, tapi bila lihat ada lagi yang lebih tua, saya kuatkan diri dan akhirnya berjaya lulus dengan pertama kali percubaan,” katanya.

Sementara itu, Yatim berkata, dia amat menghargai pengorbanan, kasih sayang dan kesetiaan isterinya yang tidak meninggalkan dirinya ketika berdepan detik sukar.

“Sejujurnya tanpa isteri, dunia saya tidak bererti dan mungkin akan putus asa selepas ditimpa ujian ini.

“Dia menjadi jurupandu saya, peneman dan ambil alih tugas tonggak keluarga. Tanpa dia segalanya tidak akan jadi seperti ini,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!