‘Saya perlu kuat besarkan anak-anak’
TANAH MERAH - Menjaga tiga anak sendirian sejak enam tahun lalu bukanlah sesuatu yang mudah bagi seorang wanita, tambahan pula apabila tidak mempunyai pendapa-tan yang tetap.
Namun bagi Normiza Che Derahman, 35, sejak kehilangan suami akibat kanser paru-paru pada tahun 2016, ia memberi perubahan besar dalam kehidupannya kerana hilang tempat bergantung sepenuhnya.
Tinggal bersama ibunya, Noriah Harun, 68, sedikit sebanyak memberi semangat kepada Normiza untuk meneruskan kehidupan dengan mengambil upah menjahit dan mengutip biji relai kelapa sawit di kampungnya.
Generasi ketiga Felda Kemahang 3 ini juga tabah menghadapi pelbagai ujian dan rintangan untuk membesarkan anak-anak demi kelangsungan hidup.
“Masa suami meninggal, saya putus harapan. Hampir hilang arah sebab hilang satu-satunya orang yang kita sayang dan jaga selama ini.
“Tambahan pula hanya dia yang bekerja sebelum ini. Semuanya memberi kejutan kepada saya. Namun saya hadapi sebaik mungkin,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di rumahnya di sini baru-baru ini.
Normiza berkata, dia mula belajar menjahit dan mengambil upah secara kecil-kecilan dengan pendapatan tidak lebih RM300 sebulan untuk membayar komitmen seperti bil air dan elektrik.
Selain itu, dia turut membantu orang kampung mengutip biji relai kelapa sawit dan memperoleh pendapatan lebih RM500 sebulan.
Keluar selepas subuh dan pulang menjelang zuhur, itulah rutin ibu tunggal berkenaan ketika turun ke ladang kelapa sawit untuk membaja atau mengutip biji relai.
“Dengan pendapatan itulah saya gunakan untuk membeli makanan dan ubat-ubatan jika ada antara kami yang sakit. Dalam masa yang sama, saya juga menjaga ibu yang sudah uzur.
“Saya perlu kuat untuk besarkan anak-anak yang berusia 11, 8 dan 6 tahun. Kekuatan arwah melawan kanser itu juga menjadi pendorong untuk saya teruskan kehidupan walaupun teramat rindukan arwah,” luah Normiza.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!