Nelayan mengeluh, hasil laut kian susut

Aziz membaiki pukatnya yang rosak sekiranya tidak dapat ke laut.
Aziz membaiki pukatnya yang rosak sekiranya tidak dapat ke laut.
A
A
A

[MUKADIMAH] Sejak bertahun lalu, nelayan di PANTAI BESERAH, KUANTAN PAHANG mengeluh apabila hasil laut semakin menyusut.

Ini disebabkan oleh kewujudan bot nelayan pukat tunda Zon B yang turut beroperasi di kawasan nelayan pantai.

Justeru ikuti laporan Norazwani Yusof yang menyelami masalah dan keluhan nelayan terbabit.

KUANTAN - Nasib nelayan pantai tidak akan berubah selagi tiada penguatkuasaan kegiatan bot pukat tunda Zon B (komersial) yang mengancam dan menjejaskan pendapatan mereka.

Masalah itu yang berlarutan sejak sekian lama tidak pernah terhenti dan menjejaskan periuk nasi nelayan kerana kegiatan pukat tunda telah merosakkan habitat ikan.

Seorang nelayan pesisiran pantai, Aziz Razali, 52, mengakui pendapatan mereka merosot lebih 50 peratus kerana ikan dan udang yang menjadi sumber tangkapan utama mereka telah berkurangan.

Dia yang sudah 35 tahun menjadi nelayan berkata, pengurangan hasil berpunca apabila tempat pelindungan dan pembiakan pelbagai spesies ikan seperti bubu, unjam serta tukun telah dirosakkan apabila bot pukat tunda menjalankan tangkapan di antara tiga hingga lima batu nautika dari pantai.

“Masalah ini dialami oleh nelayan lebih 40 tahun lalu dan ia seperti tiada kesudahan serta mendatangkan kebimbangan kepada kami apabila berdepan kesukaran mendapatkan hasil laut

Artikel Berkaitan:

“Kalau sebelum ini kami peroleh pendapatan lebih RM200 setiap kali ke laut, tetapi sekarang hanya dapat antara RM30 hingga RM40 sahaja,” katanya.

Dia berkata demikian ketika ditemui Sinar Harian di Pantai Beserah pada Selasa.

Aziz berkata, rata-rata nelayan kecewa kerana sehingga kini masih tiada tindakan penguatkuasaan diambil pihak kerajaan.

“Jika tiada langkah dibuat oleh kerajaan, kami bimbang menjelang tahun 2048, laut Malaysia akan ketandusan sumber perikanan akibat pukat tunda.

“Jadi apa nasib nelayan seperti kami selepas ini terutama nasib nelayan yang akan menyambung pekerjaan kami ini,” ujarnya lagi.

Sementara itu, seorang lagi nelayan, Mohd Shahril Ishak, 42, pula berkata, hidupan laut semakin pupus sejak nelayan bot pukat tunda menjalankan aktiviti di perairan di negeri ini.

Aziz (kiri) bersama rakannya membaiki pukat yang rosak di jeti nelayan Beserah pada Selasa
Aziz (kiri) bersama rakannya membaiki pukat yang rosak di jeti nelayan Beserah pada Selasa

Katanya, aktiviti itu turut mengakibatkan kemusnahan ekosistem tukun ikan yang berada di sepanjang pesisir pantai.

Menurutnya, disebabkan itu, banyak benih pelbagai spesies ikan, udang dan ketam musnah akibat penggunaan peralatan berkenaan.

“Apabila tempat pembiakan ikan musnah, macam mana hidupan laut boleh membiak dan ini penyebab punca pendapatan kita semakin terjejas.

“Terus terang cakap kalau dulu banyak hasil boleh dapat, tapi sekarang kalau keluar (ke laut) pun tak berbaloi, nak ke laut duit minyak RM50, tapi balik (dapat) RM20 atau RM30 sahaja. Ini belum masuk musim tengkujuh lagi menyebabkan pendapatan kami tidak seberapa.

“Kita ini ada anak sekolah untuk belanja, nak makan lagi dari mana kita hendak dapat hasil banyak kalau semua tempat pelindungan dan pembiakan ikan juga musnah,” luahnya yang sudah 20 tahun menjadi nelayan pesisir pantai.

Ujarnya, selain itu nelayan juga mengalami kerugian puluhan ribu ringgit kerana peralatan tangkapan ikan turut musnah akibat dilanggar bot tersebut.

Nada sama disuarakan, Ahmad Salleh, 49, yang meluahkan rasa kecewa kerana pendapatan golongan nelayan sepertinya menurun mendadak.

Jelasnya, ada ketika nelayan pulang hampa tanpa sebarang hasil tangkapan sedangkan nelayan bot pukat tunda mencuri hasil laut dengan rakus.

“Sekarang ini hasil kurang, jadi kami minta pihak penguat kuasa perketatkan (tindakan). Sekarang kami tak tahu macam mana aktiviti ini boleh dijalankan balik di sini.

“Kami minta sangat pihak-pihak berkenaan ambil tindakan, kasihan pada nelayan di pantai ini,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!