Sime Darby terima beberapa cadangan

Sime Darby
Sime Darby
A
A
A

SIME Darby Plantation Bhd berkata, syarikat itu telah menerima cadangan daripada beberapa pihak yang berminat untuk mengambil alih operasinya di Liberia, Afrika Barat.

Timbalan Pengarah Urusannya, Mohamad Helmy Othman Basha berkata, syarikat itu telah menandatangani perjanjian yang tidak boleh didedahkan, bersama beberapa pihak yang berminat, sambil menambah kerugian tahunan operasi di Liberia adalah sebanyak RM40 juta hingga RM50 juta.

“Dengan menjual operasi ini, ia mampu menghapuskan kerugian berterusan,” katanya.

Bagaimanapun penjualan operasi berkenaan adalah antara pilihan yang dicadangkan untuk dipertimbang, dan sehingga ini belum dimuktamadkan,” kata Mohamad ketika ditemui pada Invest Malaysia 2019, di sini hari ini.

Beliau menjelaskan, kajian semula itu akan dibentangkan kepada lembaga pengarah pada April dan seterusnya dibawa ke Mesyuarat Agung Tahunan pada Mei.

Selain dijual kepada pihak ketiga, Sime Darby Plantation katanya juga boleh menyerahkan semula operasi tersebut kepada kerajaan Liberia seperti dalam terma perjanjian.

Operasi perladangan Sime Darby di Liberia diuruskan oleh Sime Darby Plantation (Liberia) Inc.

Ia menandatangani perjanjian konsesi selama 63 tahun dengan kerajaan Liberia untuk membangunkan 220,00 hektar (ha.) tanah di Grand Cape Mount, Bomi, Gbarpolu dan Bong dengan tanaman kelapa sawit dan getah pada 2009.

Artikel Berkaitan:

Menurut laman sesawangnya, 10,508 ha. telah ditanam di lima ladang iaitu Matambo, Grand Cape Mount, Zodua, Bomi dan Lofa.

Dari keseluruhan kawasan tanaman 10,508 ha., 10,401 ha. ditanam dengan kelapa sawit dan 107 ha. lagi dengan tanaman getah.

Mohamad berkata, syarikat itu juga bekerjasama dengan beberapa organisasi antarabangsa dan pertubuhan bukan kerajaan untuk membangunkan skim pekebun kecil, yang akan membawa masuk dana.

Bagaimanapun, cadangan penyelesaian itu tidak akan memberi sebarang kesan besar ke atas syarikat dan negara.

"Kami perlu sedar bahawa kami merupakan antara majikan terbesar di sana. Terdapat tiga syarikat perladangan besar di sana, jadi apa sahaja yang kami lakukan akan memberi impak besar kepada negara, tersebut, malah kami akan mengutamakan kepentingan pemegang saham serta berusaha mengimbanginya (kesan),” katanya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!