Mangsa runtuhan batu kuari terperangkap sedalam 12 meter
IPOH - Pasukan penyelamat mempercayai dua pekerja kuari yang dikhuatiri tertimbus dalam runtuhan batu kuari di Keramat Pulai, Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands di sini berada di kedalaman sembilan hingga 12 meter.
Difahamkan kedalaman itu dipercayai sama dengan ketinggian bangunan tiga tingkat.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Perak, Azmi Osman berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) hari kedua menggunakan dua jengkaut bagi membuka laluan ke lokasi mangsa, Kheow Loo Siew Soon, 49 dan Itam Lasoh, 43 dipercayai berada.
"Berdasarkan maklumat saksi yang terselamat dalam kejadian itu, mangsa berada berhampiran antara satu sama lain.
"Lebih kurang 25 meter laluan telah dibuka namun, proses dijalankan secara perlahan-lahan kerana melihat struktur kiri dan kanan sekiranya terdapat unsur merbahaya," katanya ketika ditemui di sini pada Rabu.
Menurutnya, khidmat unit dron turut membantu mengesan kedua-dua mangsa yang merupakan pemandu jengkaut dan pembantunya.
"Dron membantu mengesan haba mangsa tetapi melihat batu-batu besar ini timbul persoalan adakah boleh mengesan atau tidak.
"Selain itu, bantuan daripada Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) diperolehi, mereka telah meletakkan sensor pergerakan struktur yang mana alat ini akan mengeluarkan amaran berbunyi sekiranya ada gerakan dari bukit berhampiran," katanya.
Kata Azmi, SAR dijangka akan mengambil masa bergantung kepada keadaan cuaca dan risiko berlakunya runtuhan.
"Untuk hari ini, tiada laporan berkaitan pergerakan tanah. Apa yang dibimbangi sekarang adalah cuaca. Kita akan mendapatkan laporan daripada Jabatan Mateorologi (MetMalaysia) berkaitan keadaan cuaca di daerah Kinta.
"Sekiranya keadaan cuaca hujan maka kita terpaksa menangguhkan proses untuk mencari dan pada sama mendapatkan khidmat nasihat Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) Perak berkaitan dengan struktur bukit yang berdekatan," katanya.
Katanya, operasi dilaksanakan setakat jam 6 atau 7 petang manakala pemantauan dilakukan pada waktu malam demi keselamatan pasukan.
Operasi yang bermula pada jam 8.30 pagi itu melibatkan 88 pegawai dan anggota daripada pelbagai jabatan antaranya Polis Diraja Malaysia (PDRM), SMART dan JMG.
Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) pula melibatkan pasukan elit iaitu Pasukan Khas Taktikal Operasi Penyelamat Malaysia (STORM) dan Unit Anjing Pengesan (K9) selain anggota Balai Bomba dan Penyelamat Simpang Pulai, Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia (FRAM) Wilayah Utara, Unit Dron dan Ibu Pejabat JBPM.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!