Muhyiddin bukan lagi PM, mahkamah tolak rayuan Khairuddin

Mahkamah Rayuan pada Rabu menolak rayuan Khairuddin berhubung permohonan semakan kehakiman yang mendakwa Peguam Negara gagal menasihati Muhyiddin supaya meletak jawatan Perdana Menteri.
Mahkamah Rayuan pada Rabu menolak rayuan Khairuddin berhubung permohonan semakan kehakiman yang mendakwa Peguam Negara gagal menasihati Muhyiddin supaya meletak jawatan Perdana Menteri.
A
A
A

PUTRAJAYA - Mahkamah Rayuan pada Rabu menolak rayuan Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan berhubung permohonan semakan kehakiman yang mendakwa Peguam Negara Tan Sri Idrus Harun gagal menasihati Tan Sri Muhyiddin Yassin supaya meletak jawatan Perdana Menteri selepas kehilangan sokongan majoriti di Parlimen.

Panel tiga hakim terdiri daripada Datuk Hanipah Farikullah, Datuk Azizah Nawawi dan Datuk Darryl Goon Siew Chye membenarkan bantahan awal oleh Peguam Persekutuan Low Wen Zhen bahawa rayuan Khairuddin tidak lagi relevan kerana Muhyiddin bukan lagi Perdana Menteri.

Hanipah, yang menyampaikan keputusan sebulat suara mahkamah berkata, kes Khairuddin tertumpu pada dakwaan kegagalan di pihak Peguam Negara untuk menasihati Muhyiddin menurut Perkara 145 Perlembagaan Persekutuan untuk meletak jawatan.

Bagaimanapun beliau berkata, mahkamah tidak akan menangani isu yang telah menjadi tidak relevan.

Hakim itu berkata, asas pengisytiharan yang dimohon Khairuddin tidak lagi wujud, sambil menambah bahawa antara pengisytiharan yang diminta oleh Khairuddin hanyalah mengulangi Perkara 145 (2) Perlembagaan Persekutuan dan tidak mendedahkan sebarang pandangan yang bertentangan dengan peruntukan itu (Perkara 145 (2)).

Hanipah memerintahkan Khairuddin membayar kos RM10,000 kepada Idrus.

Dalam prosiding pada Rabu yang dijalankan secara maya, Wen Zhen mengemukakan bantahan awal dengan mengatakan bahawa perkara itu tidak lagi relevan dan mahkamah tidak sepatutnya mendengar rayuan Khairuddin itu.

Wen Zhen berkata, asas fakta semakan kehakiman Khairuddin tidak lagi wujud kerana Muhyiddin telah meletak jawatan sebagai Perdana Menteri pada 16 Ogos tahun lepas dan Datuk Ismail Sabri Yaacob dilantik sebagai Perdana Menteri baharu lima hari kemudian.

Peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla yang mewakili Khairuddin berhujah bahawa rayuan itu masih relevan dan perisytiharan yang diminta adalah berkaitan tugas Peguam Negara.

Artikel Berkaitan:

Khairuddin memfailkan permohonan dalam usaha mendapatkan kebenaran untuk memulakan semakan kehakiman pada Februari tahun lepas, memohon beberapa perintah pengisytiharan termasuk pengisytiharan bahawa tindakan Idrus mengiringi Muhyiddin menghadap Yang di-Pertuan Agong pada 11 Januari tahun lepas untuk mengisytiharkan Proklamasi Darurat adalah tidak sah kerana bekas perdana menteri itu tidak mendapat sokongan majoriti.

Beliau menamakan Idrus sebagai responden dalam semakan kehakiman itu.

Khairuddin juga memohon perintah mandamus untuk mengarahkan Idrus menasihati Muhyiddin supaya menghadap Yang di-Pertuan Agong bagi meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri dan anggota Kabinetnya.

Beliau mendakwa Ahli Parlimen Machang Datuk Ahmad Jazlan Yaakub dan Ahli Parlimen Padang Rengas Datuk Seri Nazri Aziz, kedua-duanya daripada UMNO, telah menarik balik sokongan mereka kepada Muhyiddin masing-masing pada 9 dan 12 Jan tahun lepas, yang bermakna Muhyiddin tidak lagi mendapat sokongan majoriti di Parlimen.

Kegagalan Peguam Negara melaksanakan tugasnya, dakwa Khairuddin, adalah menyalahi undang-undang dan melanggar Perlembagaan Persekutuan.

Pada April tahun lepas, Mahkamah Tinggi menolak permohonan Khairuddin untuk mendapatkan kebenaran bagi memulakan semakan kehakiman atas alasan Khairuddin tidak mempunyai locus standi untuk semakan kehakiman terhadap Irdus. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!