Pesara rugi RM57,200 ditipu Macau Scam

Seorang pesara kerugian RM57,200 selepas menjadi mangsa penipuan sindiket Macau Scam yang menyamar sebagai pegawai polis pada Khamis minggu lalu. (Gambar kecil: Ahmad Adnan)
Seorang pesara kerugian RM57,200 selepas menjadi mangsa penipuan sindiket Macau Scam yang menyamar sebagai pegawai polis pada Khamis minggu lalu. (Gambar kecil: Ahmad Adnan)
A
A
A

TELUK INTAN - Seorang pesara kerugian RM57,200 selepas menjadi mangsa penipuan sindiket Macau Scam yang menyamar sebagai pegawai polis pada Khamis minggu lalu.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri berkata, lelaki berusia 61 tahun itu menerima panggilan daripada individu yang mendakwa dari Telekom Malaysia dan memberitahu mangsa mempunyai tunggakan bil telefon.

"Mangsa menafikan dan mendakwa ada orang lain yang salah guna namanya, panggilan disambungkan pula kepada seorang 'anggota polis' berpangkat sarjan di Seremban, Negeri Sembilan.

"Suspek kononnya telah membuat semakan dalam sistem dan mendapati mangsa terlibat dalam kes pengubahan wang haram hinggalah panggilan tersebut disambung kepada 'pegawai' di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman yang menyamar sebagai Datuk Reduan," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Rabu.

Menurutnya, individu terbabit kononnya ingin membantu mangsa dengan meminta maklumat akaun untuk pindahan wang bagi tujuan semakan oleh Bank Negara Malaysia (BNM).

"Setelah menyerahkan maklumat perbankannya, mangsa kemudiannya diminta untuk menyerahkan akaun milik isterinya. Suspek telah mengambil alih akaun mangsa dengan memindahkan wang mangsa berjumlah RM22,000 dan wang isterinya sebanyak RM35,200 ke akaun pihak ketiga yang belum dikenal pasti.

"Polis perlu mendapatkan maklumat lengkap dari BNM berhubung akaun milik sindikit terbabit," katanya.

Ahmad Adnan berkata, mangsa yang menyedari ditipu kemudiannya membuat laporan polis pada Selasa dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Artikel Berkaitan:

"Orang ramai diingatkan supaya jangan mudah percaya dengan tindakan licik sindiket ini dengan mendedahkan maklumat perbankan kepada mana-mana pihak yang tidak dikenali.

"Polis atau agensi penguatkuasaan tidak akan membuat panggilan telefon ke atas mana-mana individu dan sebaliknya mereka akan memanggil pihak terlibat yang disiasat ke pejabat agensi berkenaan," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!