Datuk jadi 'orang dalam' sindiket PLKS, gubah wang haram

SPRM tahan lima individu termasuk seorang bergelar Datuk yang disyaki jadi ‘orang dalam’ sindiket pengeluaran PLKS palsu dan pengubahan wang haram.
SPRM tahan lima individu termasuk seorang bergelar Datuk yang disyaki jadi ‘orang dalam’ sindiket pengeluaran PLKS palsu dan pengubahan wang haram.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan lima individu termasuk seorang bergelar Datuk yang disyaki menjadi ‘orang dalam’ sindiket pengeluaran Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) palsu dan pengubahan wang haram.

Menurut sumber, kelima-lima individu terbabit ditahan selepas hadir memberi keterangan di ibu pejabat SPRM, Putrajaya pada Rabu.

Penahanan itu turut membabitkan pasangan suami isteri dan mereka dikatakan menjalankan kegiatan itu selama enam tahun sejak 2015.

Sumber berkata, ahli sindiket yang ditahan ini berusia antara 34 hingga 47 tahun terdiri daripada pekerja teknikal dan kakitangan syarikat pembekal akan dituduh di Mahkamah Sesyen, Kuala Lumpur esok membabitkan lebih 100 pertuduhan.

"Kelima-lima individu ini akan didakwa di bawah Seksyen 4 (1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (Akta 613)," ujarnya pada Rabu.

Sementara itu, Pengarah Bahagian Pengubahan Wang Haram dan Pelucuthakan Harta (AML) SPRM, Mohamad Zamri Zainul Abidin ketika dihubungi mengesahkan penahanan itu dan berkata, pertuduhan adalah melibatkan aset-aset yang telah dimiliki iaitu hasil wang haram yang diperoleh daripada kegiatan sindiket seperti wang tunai, jam tangan mewah, kenderaan, tanah dan rumah.

Beliau berkata, kesemua mereka juga akan dituduh di mahkamah lain di beberapa negeri antaranya di Selangor, Kelantan, Pahang, Terengganu dan Melaka.

Sebelum ini, pada April tahun lalu, SPRM dengan kerjasama Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) berjaya melumpuhkan satu sindiket terbesar yang terbabit dalam pengeluaran PLKS palsu.

Artikel Berkaitan:

Media turut melaporkan sindiket pengeluaran PLKS palsu itu tumpas, apabila lima individu termasuk seorang bergelar Datuk, ditahan dalam operasi besar-besaran di 22 lokasi sekitar Kuala Lumpur.

Operasi turut merungkai kegiatan sindiket itu yang mengakibatkan ketirisan ratusan juta ringgit hasil kepada kerajaan yang sepatutnya diperoleh daripada levi pekerja asing.

Berikutan itu, sebanyak 147 akaun meliputi 30 individu dan 11 syarikat dengan nilai berjumlah RM9.98 juta dibekukan.

Selain itu, 30 unit hartanah dengan anggaran nilai berjumlah RM11.87 juta dan 66 kenderaan bernilai RM13.69 juta turut disita serta dibekukan.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!