'Tunggu jawapan saya minggu depan'

Najib Tun Razak
Najib Tun Razak
A
A
A

SHAH ALAM - Ahli Parlimen Pekan, Datuk Seri Najib Tun Razak akan memberi penjelasan berhubung dakwaan mengeluarkan kenyataan mengelirukan Dewan Rakyat mengenai isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan kewangan negara pada minggu depan.

Najib berkata, beliau tidak mempunyai masalah untuk menjawab mengenai kekeliruan itu dan akan memberikan jawapan yang memuaskan hati serta menghangatkan pembangkang.

"Saya tiada masalah untuk jawab. Tunggu saja jawapan saya minggu depan, Tony (Pua).

"Gerenti memuaskan dan akan menghangatkan geng kamu," katanya dalam satu hantaran di Facebooknya pada Rabu.

Ahli Parlimen Damansara, Tony Pua di Parlimen pada Rabu mahu supaya Najib dirujuk ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen kerana didakwa beberapa perkara yang dibangkitkan dalam sesi perbahasan Titah Diraja minggu lalu termasuk menyatakan tiada satu sen prinsip hutang 1MDB pernah dibayar kerajaan adalah perkara fakta dan memerlukan penjelasan terlebih dahulu.

Beliau juga mempersoalkan tindakan Najib yang enggan mematuhi arahan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun supaya membuat penjelasan kepada Dewan Rakyat berhubung kenyataan yang didakwa mengelirukan tersebut.

Namun, Azhar Azizan mengesahkan beliau memberi kebenaran kepada Najib untuk memberi penjelasan kepada Dewan Rakyat pada Selasa depan.

Najib menjelaskan telah menghantar surat kepada Azhar Azizan pada Isnin untuk meminta lanjutan masa kerana berada di Johor untuk kempen Pilihan Raya Negeri (PRN).

Artikel Berkaitan:

"Speaker menghantar surat pada saya pada hari Isnin. Surat diterima melalui e-mail dari Setiausaha Dewan Rakyat pada jam 3:03 petang hari Isnin.

"Suruh saya jelaskan pada pagi hari Rabu bersama bukti dan dokumen sokongan. Saya balas surat tersebut hampir serta-merta dengan meminta lanjutan masa seminggu sebab saya sudah ada di Johor dan sudah banyak program yang telah diaturkan.

"Penyediaan dokumen dan bukti pun perlu masa. Tak kan boleh selesai dalam masa sehari saja? Lebih-lebih lagi saya sudah berada di Johor. Pada pendapat saya, ini bukan permintaan yang tidak munasabah.

"Speaker pun membalas bahawa dia bersetuju memberi masa saya sehingga hari Selasa minggu depan," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!