MFL sambut baik pengumuman Perdana Menteri

MFL
MFL
A
A
A

LIGA Bola Sepak Malaysia (MFL) menyambut baik pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam perancangan pembukaan semula negara secara selamat dan berperingkat.

Mengulas lanjut, Presiden MFL, Datuk Ab Ghani Hassan mengakui pengumuman Perdana Menteri itu bukan sahaja memberikan suntikan motivasi kepada seluruh rakyat Malaysia, sebaliknya ia bakal menjadi satu titik kebangkitan buat kesemua industri khususnya sukan yang dihimpit detik sukar akibat pandemik Covid-19 sejak Mac 2020.

Tambah beliau, pelan pemulihan negara yang dilaksanakan oleh Perdana Menteri telah membuktikan Malaysia bergerak dalam landasan terbaik.

Beliau turut berharap industri yang menjana ekonomi negara khususnya sukan bola sepak dapat kembali beroperasi seperti biasa.

"Pertama MFL mahu merakamkan penghargaan kepada KKM dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) yang selama ini sentiasa menyokong dan mendukung perjalanan bola sepak negara khususnya Liga Malaysia sepanjang pandemik Covid-19 melanda.

"Sudah pasti MFL menyambut baik dan menyokong penuh pengumuman perancangan pembukaan semula negara secara selamat dan berperingkat yang disempurnakan oleh Perdana Menteri dalam satu sidang media semalam.

"Ini menunjukkan Malaysia sedang berada di dalam proses pemulihan daripada pandemik yang beralih fasa endemik bermula 1 April 2022 dan sudah pasti orang ramai menantikan pengumuman ini di mana saya percaya inilah titik kebangkitan seluruh rakyat Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Pada Selasa, Perdana Menteri mengumumkan negara akan memasuki fasa 'peralihan ke endemik' bermula 1 April 2022 selepas pihak kerajaan mengambil kira pelbagai faktor dan melakukan penilaian risiko khususnya mendapatkan pandangan pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Perdana Menteri turut mengumumkan had kapasiti 50 peratus sebelum ini untuk aktiviti yang melibatkan perkumpulan ramai akan dimansuhkan secara menyeluruh tetapi penjarakan fizikal sangat penting dan masih digalakkan.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MFL, Stuart Ramalingam turut berterima kepada Khairy Jamaluddin dan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu sepanjang kerjasama bersama MFL di sepanjang penganjuran Liga Malaysia dalam tempoh pandemik Covid-19.

Jelas Stuart, MFL dapat mengorak langkah dengan lebih jayanya menerusi pengumuman yang dilakukan oleh Perdana Menteri.

Beliau juga percaya Malaysia mampu menjana ekonomi dengan lebih baik sebaik peralihan fasa ke endemik bermula pada 1 April 2022.

"Saya bagi pihak Presiden MFL, Ahli Lembaga Pengarah MFL, kelab-kelab dan penyokong sentiasa menyokong keputusan kerajaan dan sudah pasti, MFL juga antara salah satu organisasi yang berusaha keras membantu ekonomi negara dan dalam masa yang sama, MFL juga bertindak untuk mengekang wabak ini merebak sepanjang penganjuran Liga Malaysia.

"Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua pihak khususnya pihak kerajaan di mana saya percaya pelan perancangan pembukaan semula negara secara selamat dan berperingkat ini bakal menjadi satu pembakar semangat terutama sektor sukan bola sepak pada masa akan datang," katanya.

Sementara itu, Stuart memberitahu SOP kemasukan penonton ke stadium masih kekal seperti biasa sebelum pindaan dilakukan sebaik menerima SOP terbaharu daripada KBS.

"Saya telah menghubungi KBS dan buat masa ini, KBS masih menunggu SOP lengkap daripada pihak MKN. Ketika ini, SOP kemasukan penonton ke stadium masih kekal seperti biasa sehingga MFL menerima pindaan terbaru daripada pihak kerajaan sebelum 1 April 2022 nanti," ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!