Harga minyak tinggi beri sokongan sementara kedudukan fiskal negara

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Konflik berterusan antara Rusia dan Ukraine nampaknya menguntungkan kedudukan Malaysia sebagai pengeksport minyak bersih dan kenaikan mendadak harga minyak akan memberikan sokongan sementara untuk kedudukan fiskal negara, kata Pakar Ekonomi Negara Kanan Bank Dunia, Shakira Teh Sharifuddin.

Beliau berkata, walaupun harga minyak akan memberikan sedikit sokongan kepada Malaysia, prospek akan kekal berhati-hati kerana kemungkinan kemunculan varian Covid-19 yang baharu dan teruk.

Pada masa ini, minyak mentah Brent didagangkan pada AS$126.8 setong.

"Selain itu, kita melihat ekonomi dibuka semula. Apabila sempadan negara dibuka semula, kita akan beransur-ansur kembali ke tahap prapandemik dan ini akan memacu ekonomi ke hadapan," katanya semasa sesi yang diadakan sempena Persidangan Prospek Malaysia 2022.

Sesi itu bertajuk Pemulihan Ekonomi dan Ketahanan di Malaysia dikendalikan oleh IDEAS.

Ketua Pegawai Strategik Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Nurhisyam Hussein turut bersetuju sambil berkata, walaupun Malaysia tidak mempunyai tahap pendedahan perdagangan yang tinggi dengan Rusia dan Ukraine, negara-negara bekas itu banyak terlibat dalam industri semikonduktor dan pengeluar utama komoditi seperti gandum dan logam.

Shakira turut menekankan kepentingan kerajaan untuk terus menangani isu jaringan keselamatan sosial, khususnya bagi kumpulan yang terdedah... jaringan keselamatan sosial yang bertujuan untuk memenuhi keperluan asas seperti makanan, tempat tinggal, kesihatan dan pendidikan serta usaha membasmi kemiskinan.

"Kerajaan harus menyiasat isu jaringan keselamatan sosial, terutamanya berkaitan subsidi dan kawalan harga, kerana pada masa ini, 50 peratus daripada subsidi kerajaan disalurkan kepada bahan api, yang bukan subsidi yang disasarkan, mengakibatkan ketidakcekapan," tambahnya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Nurhisyam berkata trajektori pemulihan negara berada di landasan yang betul dengan petunjuk ekonomi utama menjurus ke arah pemulihan ekonomi yang mampan.

"Bagi KWSP, kami melihat asas keahlian aktif bertambah baik dan kembali ke tahap prapandemik, yang mana 7.7 juta ahli aktif direkodkan berbanding 7.6 juta pada Disember 2020.

"Pencarum bulanan aktif meningkat kepada 5.8 juta berbanding 5.6 juta pada Disember 2020 dan trend peningkatan didapati melalui pendaftaran dan sumbangan ahli selepas pembukaan semula ekonomi," katanya.- Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!