Rusia-Ukraine setuju gencatan senjata selama 12 jam

Jumlah pelarian Ukraine kini mencecah 2.1 hingga 2.2 juta orang sejak kempen pencerobohan Rusia bermula dua minggu lalu. - Foto AFP
Jumlah pelarian Ukraine kini mencecah 2.1 hingga 2.2 juta orang sejak kempen pencerobohan Rusia bermula dua minggu lalu. - Foto AFP
A
A
A

KIEV - Rusia dan Ukraine pada Rabu sepakat untuk melaksanakan gencatan senjata selama 12 jam bagi membolehkan pemindahan orang awam di bawah koridor kemanusiaan yang masuk hari kedua.

Timbalan Perdana Menteri Ukraine, Iryna Vereshchuk berkata, Moscow berjanji untuk menghormati tempoh bertenang yang berkuat kuasa pada jam 9 pagi hingga 9 malam (waktu tempatan) di enam kawasan termasuk sekitar Kiev, Zaporizhzhia dan beberapa lokasi di bahagian timur laut yang berdepan pertempuran sengit.

"Orang awam di sekitar ibu kota termasuk Irpin dan Bucha akan dipindahkan ke Kiev," ujarnya.

Pada Ahad lalu, sekurang-kurangnya empat mangsa yang cuba melarikan diri terkorban dalam kejadian pengeboman.

Pada Selasa, kira-kira 60 bas di bawah dua konvoi memindahkan lebih 5,000 penduduk dari bandar Sumy yang terletak kira-kira 350 kilometer di timur Kiev.

Kumpulan tersebut dibawa ke bandar Lokhvytsia yang terletak kira-kira 150 kilometer ke bahagian barat daya wilayah dikawal Ukraine selepas Kiev dan sekutu Barat menolak cadangan awal untuk proses pemindahan ke Moscow dan Belarus.

Difahamkan, usaha untuk memindahkan penduduk di bandar Mariupol sekali lagi gagal selepas Ukraine mendakwa Rusia mengebom laluan selamat yang disediakan. - AFP

Artikel Berkaitan:
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!