Krisis Rusia-Ukraine beri kesan negatif ke atas kargo udara: IATA
KUALA LUMPUR - Krisis Rusia-Ukraine akan memberi kesan negatif ke atas kargo udara manakala penutupan ruang udara pula akan memutuskan kesalinghubungan langsung banyak pasaran yang terhubung dengan Rusia, menurut Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA).
Ia menjelaskan pasaran kargo udara mencatatkan pertumbuhan yang lebih perlahan pada Januari 2022, dipengaruhi oleh gangguan rantaian bekalan dan kekangan kapasiti, serta kemerosotan situasi ekonomi.
Permintaan global, diukur dalam kargo tan kilometer (CTK), meningkat 2.7 peratus daripada angka pada Januari 2021 (3.2 peratus bagi operasi antarabangsa).
Bagaimanapun, prestasi itu jauh lebih rendah berbanding peningkatan 9.3 peratus yang dicatatkan pada Disember 2021 (11.1 peratus untuk operasi antarabangsa).
Ketua Pengarah IATA, Willie Walsh berkata, pihaknya berpandangan pasaran kargo dijangka terjejas susulan krisis Rusia-Ukraine yang mengakibatkan peralihan berkaitan sekatan dalam aktiviti pembuatan dan ekonomi, kenaikan harga minyak mentah dan ketidaktentuan geopolitik.
"Kapasiti dijangka mengalami tekanan lebih besar dan kadar mungkin meningkat. Sejauh mana ia akan berlaku, itu masih terlalu awal untuk diunjurkan,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Beliau berkata, bagaimanapun secara keseluruhannya, kesan ke atas pasaran global dijangka rendah kerana kargo yang dibawa ke, dari, dan dalam Rusia hanya menyumbang 0.6 peratus kepada kargo global yang dibawa melalui udara pada 2021.
"Beberapa pengangkut kargo khusus didaftarkan di Rusia dan Ukraine, terutama yang terlibat dengan operasi angkat kargo berat,” katanya.
Bagi kapasiti, ia adalah 11.4 peratus melebihi Januari 2021 (10.8 peratus bagi operasi antarabangsa).
Walaupun berada dalam lingkungan positif, berbanding paras sebelum Covid-19 berlaku, kapasiti itu kekal terhad pada 8.9 peratus sekali gus berada di bawah paras yang direkodkan pada Januari 2019.
Mengenai gangguan rantaian bekalan dan kemerosotan keadaan ekonomi, IATA menjelaskan, ia disebabkan pembatalan penerbangan ekoran kekurangan tenaga kerja, iklim musim sejuk, tahap pelaksanaan 5G yang lebih rendah di Amerika Syarikat serta dasar sifar Covid-19 di tanah besar China dan Hong Kong.- Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!