Jangan 'korban' Piala FA

Antara barisan pemain BRM FC musim ini. - Foto FB BRM FC KUALA KANGSAR
Antara barisan pemain BRM FC musim ini. - Foto FB BRM FC KUALA KANGSAR
A
A
A

PEMBATALAN Piala FA - jika ia benar-benar dibuat Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) bakal memberikan impak besar terutamanya kepada kebanyakan kelab yang beraksi dalam saingan Liga-M3.

Perkara itu diakui Ketua Pegawai Eksekutif BRM FC, Muhammad Ghafari Muhammad Nasir yang menyifatkan pembatalan Piala FA bakal menyebabkan kelab amatur terpaksa menanggung kerugian selepas mengeluarkan belanja besar.

Malah, belia memberitahu, pembatalan Piala FA yang kembali dilangsungkan musim ini selepas edisi 2020 dan 2021 dibatalkan ekoran Covid-19 akan memberikan kesan kepada semangat serta moral pemain.

“Jika ditanya pendapat saya kalau Piala FA sekali lagi dibatalkan, ia sudah tentu akan berikan banyak impak. Pertama sekali dari segi kewangan kerana ia telah melibatkan sejumlah perbelanjaan.

“Yang keduanya apabila kami telah layak beraksi pada pusingan pertama setelah melalui peringkat playoff, semangat pemain pasti memuncak bagi mendapatkan pengalaman selain mahu menimba ilmu beraksi dalam Piala FA.

Muhammad Ghafari Muhammad Nasir
Muhammad Ghafari Muhammad Nasir

“Tetapi apabila dibatalkan, semangat itu pasti akan ‘menurun’. Jika alasan pembatalan hanya kerana peningkatan kes Covid-19, maka seharusnya saingan Liga Super dan Liga Premier juga dibatalkan,” katanya kepada Sukan Sinar pada Rabu.

Sebelum itu, Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Stuart Ramalingam tidak menolak kemungkinan membatalkan saingan Piala FA musim ini sekiranya kes jangkitan Covid-19 dalam kalangan pemain mahupun jurulatih semakin meningkat.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, Stuart menegaskan keputusan tersebut hanya akan menjadi langkah terakhir yang perlu diambil badan pengendali Liga Malaysia (Liga-M) itu sekiranya keadaan mendesak untuk berbuat demikian.

Untuk rekod, sebanyak tiga perlawanan Liga Super dan empat aksi Liga Premier terpaksa dibatalkan setakat ini berikutan kes Covid-19 yang melanda beberapa pasukan.

Terbaharu, MFL membatalkan aksi Liga Super antara Terengganu FC (TFC) dan Negeri Sembilan FC di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin yang dijadual pada Rabu selepas 15 pemain dan pegawai skuad Hobin Jang Hobin disahkan positif virus tersebut.

Dalam pada itu, Muhammad Ghafari berharap saingan Piala FA dapat dilangsungkan seperti mana yang telah dirancang MFL dengan penampilan format baharu musim ini.

“Jika SOP yang ditetapkan dipatuhi, rasanya Piala FA boleh diteruskan. Lagipun sekarang kebanyakan kes Covid-19 melibatkan Tahap 1 dan 2 yang mana pesakit akan sembuh dalam masa beberapa hari.

“Jadi saya benar-benar berharap MFL dapat mengkaji dan memperhalusi perkara ini dengan baik sebelum sebarang keputusan dibuat. Tolong buat pertimbangan yang sewajarnya demi kebaikan kelab-kelab Liga M3,” ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!