Peralihan ke fasa endemik jalan terbaik
PERALIHAN ke fasa endemik yang akan bermula pada 1 April ini bakal menjadi permulaan baharu buat Keluarga Malaysia ‘membebaskan diri’ setelah lebih dua tahun berperang dengan Covid-19.
Pada Selasa, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan ‘hadiah istimewa’ tersebut. Menurut beliau, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira pelbagai faktor termasuk penilaian risiko, pandangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan selepas meneliti syor daripada Menteri Kuartet.
Tegas beliau, peralihan fasa tersebut adalah exit strategy bagi membolehkan rakyat dapat menjalani kehidupan hampir normal. Pengumuman itu adalah petanda positif kerajaan dilihat sudah bersedia memberi peluang kepada rakyat untuk ‘hidup berdikari’ bersama Covid-19.
Bermula 1 April, aktiviti solat jemaah di masjid, surau dan upacara sembahyang di rumah ibadat bagi yang bukan Islam boleh dilaksanakan tanpa penjarakan fizikal.
Malah, had waktu bagi premis perniagaan juga dimansuhkan, sekali gus premis boleh beroperasi mengikut waktu operasi masing-masing.
Sebelum ini, prosedur operasi standard (SOP) mengehadkan kapasiti 50 peratus untuk aktiviti melibatkan perkumpulan ramai. Dengan pengumuman kelonggaran baharu itu, had tersebut dimansuhkan secara menyeluruh.
Malah, semua individu dibenarkan merentas negeri tanpa mengira status vaksinasi, namun pendaftaran menggunakan aplikasi MySejahtera masih diwajibkan, begitu juga pemakaian pelitup muka.
Pada masa sama, rakyat diingatkan supaya tidak leka dan patuh cara hidup baharu yang ditetapkan kerajaan menjelang negara bakal ‘berdamai’ dengan Covid-19.
Jika dilihat, beberapa negara lain juga telah ‘pasrah’ dan menyiapkan beberapa protokol baharu untuk hidup bersama Covid-19. Sebagai contoh, England menjadi negara pertama di dunia menarik semula semua sekatan selepas yakin dengan program vaksinasi mampu mengekang penularan jangkitan wabak.
Langkah sama turut dilakukan oleh Emiriah Arab Bersatu (UAE). Pemakaian pelitup muka di tempat awam bukan lagi kewajipan dan prosedur pengasingan atau kuarantin bagi individu yang menjadi kontak rapat kes Covid-19 juga dimansuhkan.
Maka, boleh dikatakan pengumuman Perdana Menteri boleh dijangka kerana rakyat sudah lama bersedia menuju ke fasa endemik.
Apa pun, 2022 bakal menjadi tahun bermakna untuk rakyat Malaysia. Peralihan ke fasa endemik memberi peluang untuk rakyat tebus semula ‘masa yang hilang’ akibat pandemik dahulu.
Kali ini, sudah pasti antara kelonggaran yang ditunggu-tunggu rakyat adalah tiada had masa untuk restoran atau premis beroperasi selagi ia mengikut syarat lesen premis tersebut.
Ia bermakna, kita sudah boleh makan-makan di restoran bersama rakan-rakan sehingga awal pagi dan bersorak menonton perlawanan bola sepak pasukan kegemaran masing-masing.
Kurang sebulan lagi, umat Islam pula akan menyambut ketibaan bulan Ramadan dan sudah semestinya ramai yang akan bersahur di luar terutamanya golongan bujang dan pelajar.
Tidak cukup dengan itu nampaknya rata-rata masyarakat juga tidak sabar untuk bersolat terawih di masjid dan surau selepas saf solat bakal dirapatkan semula di seluruh negara pada peralihan fasa endemik nanti.
Tiada lagi penjarakan sosial dikenakan ketika mengerjakan solat terawih dan solat sunat Aidilfitri nanti. Yang penting, rumah terbuka tahun ini haruslah meriah dan tiada lagi tangisan anak perantau seperti tahun-tahun lalu. Insya-ALLAH.
Kelonggaran SOP kali benar-benar memberi peluang kepada rakyat untuk merasai semula nikmat mengharungi bulan Ramadan dengan lebih bermakna.
Kebebasan yang ‘diragut’ ketika era pandemik Covid-19 sebelum membuktikan rakyat sudah ‘pasrah’ selepas berikhtiar selama hampir tiga tahun untuk mengekang wabak berkenaan.
Pasrah bukan bermaksud Covid-19 menang tetapi kita perlu belajar hidup bersamanya. Sudah tiba masa kita menerima endemik dengan lebih terbuka.
Pemvaksinan sudah dijalankan, ubat antiviral pun sudah ada. Kita tidak boleh selama-lamanya seperti ini. Belajarlah ‘menerima’ Covid-19 dalam kehidupan seharian.
* Nadjwatul Huda binti Mohd Zuraidi ialah Pencipta Kandungan Sosial Media Sinar Harian
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!