Bukti keprihatinam terhadap keperluan rakyat

A
A
A

Dalam memperkasa dan mempersiapkan golongan muda sebagai pemimpin pelapis, ia tidak harus tertumpu kepada tokoh daripada politik semata-mata, tetapi melibatkan alternatif seperti mahasiswa dan golongan profesional.
Dalam memperkasa dan mempersiapkan golongan muda sebagai pemimpin pelapis, ia tidak harus tertumpu kepada tokoh daripada politik semata-mata, tetapi melibatkan alternatif seperti mahasiswa dan golongan profesional.

SHAH ALAM - Penubuhan Institut Kepimpinan Anak Muda Johor dan mewujudkan Dewan Undangan Negeri Belia dilihat antara tawaran menarik oleh Perikatan Nasional (PN) dalam mempersiapkan golongan muda sebagai pemimpin lapis.

Berdasarkan Ikrar PN bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, terdapat tujuh strategi yang bersifat seimbang yang ditawarkan menerusi aspek-aspek yang menjadi Tunjang Empat di bawah aspek Keprihatinan Rakyat.

Di bawah strategi pertama, PN menzahirkan komitmen dalam memperkasa peranan belia dalam pembangunan negeri, melalui penubuhan Institut Kepimpinan Anak Muda Johor untuk melahirkan pemimpin muda yang berdaya saing di peringkat global melalui kerjasama Kerajaan Persekutuan dan pihak swasta.

Selain itu, mewujudkan Dewan Undangan Negeri Belia sebagai platform rasmi untuk suara aspirasi generasi belia seluruh Johor.

PN juga bersedia untuk meningkatkan penglibatan belia anak kelahiran Johor sebagai ahli majlis daerah/perbandaran/bandaraya serta meningkatkan penyertaan persatuan dan badan bukan kerajaan (NGO) belia dalam pembentukan polisi kerajaan negeri.

Artikel Berkaitan:

DR MD SHUKRI
DR MD SHUKRI

Penganalisis politik Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr Md Shukri Shuib ketika ditanya mengenai inisiatif ini menjelaskan, ia adalah satu tawaran yang menarik, namun golongan belia yang dilibatkan haruslah berkebolehan.

“Isu umur sebenarnya tidak menjadi satu perkara asas, namun jika melihat kepada bimbingan, saya melihatnya sebagai platform untuk melatih dan mempersiapkan golongan muda ini sebagai pemimpin komuniti.

“Maksudnya, di peringkat majlis perbandaran misalnya, saya melihat adalah lebih baik jika ia bermula dari bawah dan di peringkat daerah. Golongan muda ini boleh dilibatkan secara serius dengan Majlis Belia dan lain-lain platform, selain daripada platform politik,” katanya.

Bagaimanapun katanya, dalam memperkasa dan mempersiapkan golongan muda sebagai pemimpin pelapis, ia tidak harus tertumpu kepada tokoh daripada politik semata-mata, tetapi melibatkan alternatif seperti mahasiswa dan golongan profesional.

Ia sekali gus memperluaskan golongan pemimpin berpotensi yang bukan sahaja daripada kalangan golongan politik, tetapi daripada komuniti itu sendiri.

Jelas beliau, golongan profesional seperti arkitek, guru atau doktor misalnya, adalah golongan yang berada di lapangan dan mempunyai ciri-ciri pemimpin masa depan yang harus diketengahkan bagi menjadikan Malaysia lebih berdaya saing.

“Ikrar ini merupakan manifestasi daripada kerangka pemikiran pemimpin dan menjadi salah satu perkara asas sekiranya dapat membentuk kerajaan, maka ikrar itu perlu diterjemahkan dalam bentuk dasar.

“Tidak kira ia dibuat dalam bentuk atau skop kumpulan tertentu, tetapi akhirnya rakyat atau pengundi di sesuatu kawasan yang akan menentukan. Selain konsep ikrar yang ditawarkan, ada beberapa lagi faktor yang boleh menjadi angkubah sesuatu kejayaan.

“Antaranya jentera parti tersebut, calon yang diketengahkan dan khidmat bakti mereka serta ‘track record’ yang menjadi keutamaan. Jika ia boleh diguna pakai dan baik untuk rakyat, saya fikir tiada masalah,” jelasnya kepada Sinar Harian.

Ikrar PN realistik jadi indikator

Selain memperkasa peranan belia dalam pembangunan negeri, Ikrar PN dalam Tunjang Empat dilihat menggunakan strategi dengan menumpukan kepada beberapa golongan sasar.

Ia termasuklah meningkatkan penyertaan wanita dalam sektor ekonomi, memperkukuh institusi kekeluargaan dan komuniti, mempertingkat kesejahteraan warga emas, memperkasa orang kurang upaya (OKU), memajukan sosioekonomi masyarakat orang asli dan mensejahterakan komuniti FELDA.

Di bawah strategi itu, PN menyatakan komitmen dalam membangunkan pelan lima tahun lonjakan sosioekonomi wanita Johor yang menyeluruh, meliputi aspek pendidikan, keusahawanan, kerjaya dan keluarga.

Selain itu, meningkatkan penglibatan suri rumah, ibu tunggal dan orang kurang upaya (OKU), wanita dalam bidang keusahawanan serta menyediakan latihan teknologi digital dan khidmat nasihat melalui kerjasama agensi kerajaan dan pihak swasta.

DR AWANG AZMAN
DR AWANG AZMAN

Penganalisis politik daripada Universiti Malaya (UM), Prof Madya Dr Awang Azman Awang Pawi berkata, strategi itu menarik untuk diperhalusi kerana terdapat pelbagai tawaran menarik dalam ikrar dan manifesto parti-parti yang bertanding.

Namun pada akhirnya, apa yang dinilai oleh pengundi adalah sejauh mana manifesto tersebut bersifat menyeluruh dan memberikan kesan kepada golongan sasar itu sendiri.

“Jadi, ini merupakan satu cabaran kepada parti-parti untuk menawan hati pengundi. Apatah lagi cabaran untuk menarik pengundi atas pagar, pengundi baharu yang belum kenal lagi apa itu ikrar atau manifesto dan belum kenal siapa yang bertanding.

“Saya kira, ini merupakan cabaran untuk mengetahui manifesto manakah yang lebih realistik dan manakah yang dekat dengan hati pengundi,” ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!