Identiti mangsa dibaham buaya dikenal pasti

Mangsa bersama dua rakannya melakukan aktiviti mencari siput di perairan Kampung Pagason.
Mangsa bersama dua rakannya melakukan aktiviti mencari siput di perairan Kampung Pagason.
A
A
A

PITAS - Polis sudah mengenal pasti mangsa yang didakwa dibaham buaya di perairan Kampung Mapan-Mapan di sini dan mayatnya akan diambil untuk proses bedah siasat.

Mangsa dikenali sebagai Serata berusia 40-an parah di bahagian rusuk kanan akibat diserang haiwan reptilia itu dan dilaporkan meninggal dunia di lokasi kejadian pada jam 11 pagi Selasa lalu.

Ketua Polis Daerah Kota Marudu, Superintendan Zairolnizal Ishak berkata, mangsa bersama dua rakannya melakukan aktiviti mencari siput di perairan Kampung Pagason.

"Pada jam 11 pagi hari yang sama, mangsa tiba-tiba diserang buaya dan akibat serangan itu mangsa parah di bahagian rusuk kanan.

"Selepas buaya tidak kelihatan, dua rakan mangsa berjaya membawanya ke jeti Kampung Mapan-Mapan dan didapati sudah meninggal dunia," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Khamis.

Katanya lagi, maklumat itu diperoleh dan disahkan oleh saksi yang berada di lokasi kejadian termasuk Ketua Kampung Mapan-Mapan.

"Mayat mangsa kemudian dibawa ahli keluarganya ke Pulau Sibogo, Kudat, dengan menaiki bot sebelum pasukan siasatan tiba di lokasi kejadian.

"Punca kematian mangsa tiada sebarang unsur jenayah dan diklasifikasikan sebagai mati mengejut namun siasatan masih diteruskan.

Artikel Berkaitan:

"Mayat mangsa akan diambil dari Pulau Sibogo untuk dihantar ke Hospital Pitas bagi tujuan bedah siasat, " katanya.

Sinar Harian pada Rabu melaporkan, seorang lelaki Palauh didakwa meninggal dunia akibat dibaham buaya bagaimanapun kejadian itu tidak dapat disahkan apabila ahli keluarga enggan memberi kerjasama.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!