Subsidi produk minyak dijangka cecah RM28 bilion
KUALA LUMPUR - Kerajaan akan mengkaji semula mekanisme subsidi produk minyak supaya dapat dilaksanakan dengan lebih bersasar dan menumpukan bantuan dan subsidi kepada golongan rentan serta mereka yang benar-benar memerlukan bantuan, kata Menteri Kewangan Tengku, Senator Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz.
"Pelaksanaan subsidi secara bersasar dijangka dapat mengoptimumkan sumber kewangan kerajaan dan penjimatan yang dicapai dapat diagihkan semula untuk program yang lebih berkesan menyumbang kepada kesejahteraan rakyat,” katanya pada Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat pada Khamis.
Beliau berkata demikian semasa menjawab soalan Wong Hon Wai (PH-Bukit Bendera) yang ingin tahu sama ada satu penyelarasan program subsidi petrol, diesel dan gas petroleum cecair (LPG) perlu diadakan memandangkan harga antarabangsa bagi minyak mentah dan gas asli naik mendadak ketika peperangan Rusia-Ukraine yang sedang meruncing.
Tengku Zafrul berkata, program subsidi semasa melibatkan harga bersubsidi yang sama dinikmati semua golongan, tanpa mengira kaya atau miskin.
Malah, beliau berkata golongan berpendapatan tinggi akan menikmati lebih subsidi berdasarkan tahap penggunaan yang lebih besar berbanding mereka yang berpendapatan rendah.
Jumlah subsidi dijangka mencecah RM28 bilion pada 2022
Menurut Tengku Zafrul, sejak awal 2021, harga minyak mentah dunia telah menunjukkan trend peningkatan yang signifikan dengan penanda aras minyak mentah Brent meningkat US$85 setong pada Januari 2022 berbanding AS$55 setong pada Januari 2021.
Berikutan kenaikan itu, Tengku Zafrul berkata, kerajaan terpaksa menampung peningkatan subsidi petrol, diesel dan gas cecair memasak atau LPG yang ketara sehingga 10 kali ganda iaitu meningkat daripada RM200 juta untuk Januari 2021 kepada lebih RM2 bilion untuk Januari 2022.
Menurutnya, ditambah pula dengan isu pergolakan antara Rusia dan Ukraine, harga minyak mentah dunia telah naik mendadak ke paras melebihi AS$100 setong iaitu paras tertinggi sejak 2014.
Katanya dengan kenaikan ini, jumlah subsidi petrol, diesel dan LPG dijangka melebihi RM2.5 bilion sebulan.
"Sekiranya harga minyak mentah dunia kekal melebihi AS$100 setong, jumlah subsidi tersebut bagi keseluruhan 2022 dijangka mencecah RM28 bilion berbanding RM11 bilion bagi 2021,” katanya.
Tengku Zafrul berkata,pengguna pada masa ini hanya membayar RM2.05 seliter untuk petrol RON95, bagaimanapun, kos sebenar pada Mac telah mencecah RM3.70 seliter untuk petrol.
Katanya, kerajaan terpaksa menampung perbezaan sebanyak RM1.65 bagi setiap liter.
"Sebagai contoh, setiap kali kita pergi ke stesen pam minyak dan kita mengisi minyak dengan nilai RM100 atau kira-kira 49 liter, jumlah yang dibayar oleh kerajaan adalah RM81 kerana jumlah kos sebenar berdasarkan harga pasaran adalah RM181 bagi 49 liter RON95.
"Ini bermakna subsidi kerajaan adalah sehingga 45 peratus daripada jumlah keseluruhan yang perlu dibayar. Bagi diesel pula, pengguna hanya membayar RM2.15 seliter di stesen minyak, sementara kos sebenar telah melebihi RM4 seliter,” katanya.
Menurut Tengku Zafrul, jurang besar antara harga runcit di stesen minyak berbanding harga pasaran sebenar akan mengakibatkan risiko ketirisan subsidi yang lebih tinggi disebabkan aktiviti penyeludupan keluar produk petroleum.
"Kerajaan juga tidak boleh meminjam untuk membiayai Belanja Mengurus (OE) seperti kos subsidi. Dengan itu, kenaikan kos subsidi perlu diimbangi dengan pertambahan hasil dan penjimatan perbelanjaan,” katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!