Pemandu lori rempuh sembilan motosikal mengaku tidak bersalah

Tertuduh dibawa keluar dari Mahkamah Majistret Sungai Petani selepas selesai pendakwaan pada Khamis.
Tertuduh dibawa keluar dari Mahkamah Majistret Sungai Petani selepas selesai pendakwaan pada Khamis.
A
A
A

SUNGAI PETANI - [DIKEMAS KINI] Pemandu lori yang merempuh sembilan motosikal sedang berteduh bawah jejambat mengaku tidak bersalah ketika dihadapkan ke Mahkamah Majistret Sungai Petani pada Khamis.

Tertuduh, Muhammad Ariff Abdullah, 28, dari Bachok, Kelantan didakwa memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kematian Muhamad Khairul Azwan Maula Hashim, 31.

Perbuatan itu dilakukan pada Isnin lalu jam 2.40 petang di Kilometer 92.8 Lebuhraya Utara Selatan di daerah Kuala Muda, Kedah.

Disebabkan perbuatan itu, tertuduh telah melakukan kesalahan yang boleh dihukum bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Jika sabit kesalahan, penjara tidak kurang lima tahun dan tidak lebih 10 tahun dan denda tidak kurang RM20,000 serta tidak lebih RM50,000 boleh dikenakan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Khairul Azreem Mamat dan Nur Hamizah Mat Shah, manakala tertuduh diwakili peguam Siti Haslina Hasbullah.

Pihak pendakwaan tidak menawarkan jaminan, namun sekiranya mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin ditawar sebanyak RM10,000.

Siti Haslina merayu agar jumlah jaminan dikurangkan memandangkan tertuduh merupakan anak keempat daripada enam beradik, hanya berpendapatan RM1,500 sebulan dan menyara seorang ibu yang uzur.

Majistret Fazlina Musa membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM9,000 dengan seorang penjamin.

Sementara itu, di Mahkamah Majistret 3, Muhammad Ariff didakwa memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kematian Mohamad Amirul Ismail, 28, pada lokasi, tarikh dan masa yang sama.

Artikel Berkaitan:

Majistret Nadhirah Abdul Rahman membenarkan jaminan sebanyak RM8,000 dengan seorang penjamin selain perlu lapor diri di balai polis terdekat setiap bulan.

Sebutan semula ditetapkan pada 28 Mac 2022 bagi mendapatkan laporan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom).

Dalam kejadian Isnin lalu, sembilan buah motosikal yang sedang berteduh bawah jejambat semasa hujan lebat, dirempuh sebuah lori sehingga menyebabkan dua penunggang motosikal maut.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!