Maritim roboh 50 bagang haram

Pasukan Maritim Malaysia melaksanakan Operasi Bersepadu Khas merobohkan bagang haram di perairan Tawau.
Pasukan Maritim Malaysia melaksanakan Operasi Bersepadu Khas merobohkan bagang haram di perairan Tawau.
A
A
A

TAWAU - Sebanyak 50 bagang dibina secara haram terpaksa dirobohkan dalam Operasi Bersepadu Khas di perairan Inderasabah dan Kalumpang, di sini, pada Rabu.

Operasi yang bermula jam 8.30 pagi itu dilaksanakan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Tawau bersama Jabatan Perikanan Sabah cawangan Tawau.

Pengarah Zon Maritim Tawau, Kepten Maritim V Siva Kumar berkata, operasi khas itu bertujuan untuk mengesan kewujudan struktur bagang yang didirikan secara haram di perairan daerah ini.

Katanya, operasi itu turut untuk mengenal pasti pembinaan bagang di luar kawasan zon dibenarkan seperti termaktub dalam syarat sah lesen yang dikeluarkan Jabatan Perikanan Sabah.

"Kira-kira 50 bagang haram telah dikenal pasti melakukan kesalahan beroperasi tanpa lesen dan binaan yang berada di luar had kawasan yang dibenarkan.

"Notis perobohan bagang telah diberikan dan diberi tempoh selama sebulan sebelum tindakan susulan diambil," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Katanya lagi, pelaksanaan operasi itu juga adalah bagi mematuhi arahan Mesyuarat Ops Gasak Laut yang memutuskan untuk mengambil tindakan mengeluarkan notis perobohan kepada pengusaha bagang yang tidak mematuhi syarat yang ditetapkan.

"Pembinaan struktur bagang di kawasan laut juga perlu diberi perhatian dan kawalan, kerana dengan wujudnya struktur bagang haram yang berkemungkinan dijadikan persinggahan penjenayah melakukan jenayah di laut seperti rompakan dan penyeludupan.

Artikel Berkaitan:

"Komuniti setempat yang menjalankan perusahaan hasil laut termasuk bagang diminta sentiasa mematuhi peraturan syarat lesen yang dikeluarkan," katanya.

Sebelum itu, Siva Kumar memaklumkan seramai 14 anggota dan dua aset terlibat dalam operasi khas itu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!