'Rakyat tengah susah, kerajaan perlu benar pengeluaran KWSP'
BATU PAHAT - Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyokong pengeluaran simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) kerana rakyat di Johor meminta bantuannya mengutarakan perkara terbabit dalam siri jelajahnya sempena Pilihan Raya Negeri (PRN).
Ahli Parlimen Port Dickson itu turut menafikan bahawa pendiriannya berubah berbanding sebelum ini bahawa pengeluaran KWSP itu tidak boleh diberikan laluan mudah.
Jelasnya, pihaknya tidak setuju pengeluaran simpanan KWSP sebelum ini dengan syarat jika kerajaan membantu memberi ganti rugi banjir yang dialami oleh rakyat.
“Dengan syarat kerajaan membantu ganti rugi dia (seperti) rumah yang rosak, kenderaan dan sebagainya. Kerajaan ganti (dan) tak perlu pencarum mengambil wang tersebut.
“Soalnya sekarang, setelah beberapa bulan berlalu, dah datang banjir kedua, kerajaan baru fikir dan kaji. Orang sudah susah.
“Dalam keadaan sekarang, saya kata kalau kamu (kerajaan) tidak beri bantuan kepada rakyat, kamu kena benar dia ambil wang itu,” katanya kepada pemberita selepas menyantuni pengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Semerah di Kampung Tambak pada Khamis.
Anwar pada Rabu menggesa pengeluaran simpanan KWSP dibenarkan dengan segera setelah menyifatkan kerajaan gagal membantu rakyat yang terdesak.
Menurutnya, langkah itu kini dilihat perlu dilaksanakan meskipun sebelum ini beliau berpendirian sebaliknya.
Dalam pada itu, mengulas kurang 48 jam baki kempen dalam PRN Johor, Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu berkata, gabungan itu akan masuk ke semua kawasan yang ada di negeri ini.
“Kita masuk semua kawasan, kita kerja sedaya upaya (dan) tambah ikhtiar kita.
“Kita bincang dengan baik dan bagi penerangan. Insya-ALLAH keadaan akan berubah,” jelasnya.
Ikuti perkembangan semasa #PRNJohor dan kenali calon anda menerusi pru.sinarharian.com.my
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!