Orang awam di Ukraine dibenar gunakan senjata
ANKARA - Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskyy pada Rabu menandatangani undang-undang membenarkan orang awam menggunakan senjata ketika peperangan.
Undang-undang Memastikan Penyertaan Orang Awam Mempertahankan Ukraine menyelaras "prosedur perolehan dan pemulangan senjata api serta peluru demi melindungi negara ketika peperangan, manakala orang awam tidak akan disabitkan kesalahan berhubung penggunaan senjata api terhadap mereka yang melakukan pencerobohan di Ukraine," lapor Agensi Anadolu memetik kenyataan Parlimen Ukraine, Verkhovna Rada.
Selain itu, rakyatnya berpeluang mengambil bahagian menangkis dan menghalang pencerobohan bersenjata oleh Rusia dan/atau negara lain menggunakan senjata persendirian.
Undang-undang itu telah diluluskan di Parlimen pada Khamis lepas, menurut kenyataan itu.
Menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), sekurang-kurangnya 474 orang awam terbunuh dan 864 yang lain cedera sejak Rusia mula menyerang negara itu pada 24 Februari lepas dan jumlah sebenar dikhuatiri lebih tinggi.
Sementara itu, lebih 2.1 juta rakyat Ukraine telah melarikan diri ke negara jiran, menurut data terbaharu dikeluarkan Agensi Pelarian PBB. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!