Jenazah Mohd Ruzaimi selamat dikebumi
BATU GAJAH - Jenazah kakitangan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) yang meninggal dunia selepas parah dalam insiden di landasan Lapangan Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS), selamat dikebumikan sekitar jam 5.45 petang, hari ini.
Allahyarham Mohd Ruzaimi Iskandar Ahmad Razali, 39, tiba di Tanah Perkuburan Kampung Changkat Belengkor, Batu Gajah selepas disembahyangkan di Masjid Toh Puan Besar Hatijah Batu Gajah.
Jenazah Allahyarham diiringi ibunya, Jeleha Awang, 70-an; isteri, Nor Azawiah Md Usuf bersama empat anak berusia setahun hingga 13 tahun.
Lebih 300 orang terdiri anggota keluarga, saudara mara dan penduduk kampung hadir memberi penghormatan terakhir kepada Allahyarham.
Mohd Ruzaimi menghembuskan nafas terakhir jam 6.45 petang semalam ketika menjalani rawatan intensif di sebuah hospital swasta di Subang Jaya selepas kenderaan dinaiki dilanggar sebuah pesawat persendirian yang mendarat di landasan LTSAAS.
Dalam kejadian jam 3.20 pagi, Isnin lepas, mangsa dipercayai berada dalam kereta unit kejuruteraan MAHB untuk memantau kerja penyelenggaraan di landasan.
Kejadian itu menyebabkan bahagian bumbung Perodua Kembara terbabit tercabut selepas terkena sayap pesawat berkenaan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!