PMO nafi tular, PM, isteri terlibat kemalangan
PUTRAJAYA - Pejabat Perdana Menteri (PMO) menafikan penularan berita mendakwa kereta dinaiki Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad terbabas di depan bangunan Parlimen dan menyebabkan beliau mengalami kecederaan dalam insiden tersebut.
Malah, mesej palsu itu turut mendakwa isteri Dr Mahathir, Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali mengalami kesakitan akibat kemalangan itu dan beritanya akan disiarkan Rancangan Televisyen Malaysia (RTM) pada malam ini.
Menerusi kenyataan dalam aplikasi WhatsApp, PMO menegaskan perdana menteri dan isteri tidak terlibat dalam apa-apa kemalangan di hadapan bangunan Parlimen.
“Perdana menteri dan isteri tidak terlibat dalam apa-apa kemalangan di Parlimen dan gambar tersebut tidak menggambarkan suasana di Parlimen.
“Kemungkinan gambar itu di luar negara,” menurut kenyataan itu.
Katanya lagi, Dr Mahathir dalam keadaan sihat malah beliau baru selesai mempengerusikan mesyuarat pertama Majlis Tindakan Ekonomi (EAC) di Perdana Putra, di sini, yang berakhir pada jam 6 petang tadi.
Bahkan, Ahli Parlimen Langkawi itu juga sempat bertemu delegasi dari Sepanyol diketuai Presiden Yayasan Masjid Seville, Hajj Ibrahim Hernandez di pejabatnya hari ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!