Sabah pertimbang selaraskan SOP menjelang pembukaan semula sempadan

Masidi (dua dari kanan) hadir melihat proses pemberian vaksin bagi dos penggalak dan kanak-kanak di lobi Wisma Innoprise, Kota Kinabalu pada Khamis.
Masidi (dua dari kanan) hadir melihat proses pemberian vaksin bagi dos penggalak dan kanak-kanak di lobi Wisma Innoprise, Kota Kinabalu pada Khamis.
A
A
A

KOTA KINABALU - Kerajaan Sabah mempertimbangkan untuk membuat penyelarasan berhubung prosedur operasi standard (SOP) berhubung kemasukan pelawat dari luar negara berikutan pembukaan semula sempadan negara pada 1 April depan.

Ini termasuk mewajibkan pelawat dari luar negara mesti menerima dos vaksin Covid-19 yang lengkap dan dos penggalak sebelum memasuki Sabah.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, Sabah berdepan dengan cabaran kerana negeri akan terus menerima kemasukan daripada pelawat asing terutama Filipina dan Indonesia.

"Kita akan pertimbangkan untuk buat penyelarasan kepada SOP, namun kita kena tunggu butiran SOP dahulu. Dalam kes di Sabah, kita berdepan sedikit cabaran kerana kita berterusan menerima kemasukan melalui bot dari Filipina dan Indonesia dan malangnya di wilayah itu tidak setinggi kita (individu divaksin).

"Ada kemungkinan mereka yang tiba di sini mungkin tidak divaksin sebab itu jadikan mandatori untuk pengunjung luar negara mesti lengkap vaksin dan dos penggalak.

"Sebab itu kita kena buat penyelarasan SOP untuk pastikan setiap orang yang datang ke Sabah terutama mereka yang datang menggunakan bot adalah sudah diberikan vaksin," katanya pada sidang akhbar majlis pemberian vaksin Covid-19 bagi dos penggalak dan kanak-kanak di lobi Wisma Innoprise, di sini pada Khamis.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas jika kerajaan Sabah akan mempunyai SOP tersendiri untuk menerima kehadiran pelawat dari luar negara sempena pembukaan semula sempadan negara nanti.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pelawat dari luar negara akan datang seperti sebelum pandemik untuk pelbagai tujuan di negeri ini.

Artikel Berkaitan:

"Mungkin ini juga satu isyarat kenapa kita perlu pastikan kita sudah menerima vaksin, dos penggalak dan kanak-kanak turut diberikan vaksin.

"Kenapa kita perlu diberi vaksin, ini kerana apabila lebih ramai orang luar berada di tempat kita ertinya risiko semakin tinggi kerana kita bukan saja berinteraksi dengan rakyat sendiri tetapi juga dengan orang luar yang kita tidak tahu latar belakangnya," katanya.

Sehubungan itu, Masidi yang juga jurucakap perkembangan harian Covid-19 di Sabah berkata, program yang dilaksanakan kerajaan termasuk pemberian vaksin di pejabat, kompleks beli belah dan sekolah bagi kanak-kanak akan memberi perlindungan yang maksimum jangkitan Covid-19.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!