Mail Lambong tekad bangunkan Endau

Surau di pekan Endau ini menjadi keutamaan buat Mail Lambong untuk dibaik pulih sekiranya diangkat menjadi ADUN Endau.
Surau di pekan Endau ini menjadi keutamaan buat Mail Lambong untuk dibaik pulih sekiranya diangkat menjadi ADUN Endau.
A
A
A

MERSING - 'Mail Lambong tak makan rasuah!'. Sama ada secara kebetulan mempunyai persamaan dengan sebuah filem lakonan Zizan Razak, namun itu hakikat sebenar calon Bebas di Dewan Undangan Negeri (DUN) Endau, Ismail Don atau lebih dikenali sebagai Mail Lambong.

Anak peneroka Felda Endau yang sememangnya dikenali ramai lantaran sikap ramah dengan tegas menyatakan kesungguhan menentang amalan rasuah dan membangunkan daerah kecil di Mersing itu.

Katanya, warna putih pada bendera yang digunakan semasa berkempen jelas membuktikan beliau bersih dan bebas daripada rasuah, selain ikhlas mahu berkhidmat kepada masyarakat setempat.

Ismail Don atau Mail Lambong menunjukkan lambang yang dipilih olehnya sebagai calon bebas di DUN Endau.
Ismail Don atau Mail Lambong menunjukkan lambang yang dipilih olehnya sebagai calon bebas di DUN Endau.

Malah Mail Lambong bertekad untuk melunaskan janji manis lima calon DUN Endau sebelum ini yang mahu membangunkan perhentian bas di daerah tersebut.

"Bukan sahaja saya akan membangunkan semula perhentian bas Endau yang telah tidak beroperasi kira-kira lima tahun ini, saya juga akan membina semula surau di Endau yang telah musnah terbakar sejak enam bulan lalu.

"Ini janji saya sekiranya berjaya mendapat sokongan masyarakat di daerah Endau ini. Saya mahu membela nasib masyarakat di sini terutama melibatkan soal pengangkutan yang menjadi keutamaan rakyat di sini untuk bergerak ke bandar Mersing.

"Saya sudah tidak sanggup lagi melihat masyarakat di daerah Endau dipermainkan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang hanya pandai membuat janji manis, namun sama sekali tidak dikotakan," katanya kepada Sinar Harian baru-baru ini.

Artikel Berkaitan:

Mail Lambong berkata, bagi membuktikan kesungguhannya bebas daripada rasuah atau sogokan kepada pengundi, sebanyak satu sen pun tidak diberikan kepada orang ramai untuk mengundi dirinya.

Malah, beliau akan terus berusaha menabur khidmat kepada mereka yang memerlukan termasuk keluarga miskin dan individu ditimpa bencana.

"Untuk beri duit kepada orang walaupun satu sen supaya mengundi saya sama sekali tidak lakukan.

"Orang ramai boleh menilai diri saya. Malah bantuan diberikan kepada orang ramai selama ini adalah ikhlas kerana saya sangat bersimpati dengan nasib orang yang tidak bernasib baik," katanya.

Jelasnya, jika masyarakat di Endau mahukan perubahan, mereka boleh memilihnya pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor 12 Mac ini.

"Jika tidak terpilih pun saya tidak berkecil hati. Niat saya hanya mahu membantu orang ramai dan berusaha membangunkan daerah Endau ini menjadi lebih baik.

"Saya tercabar untuk bertanding kali ini kerana calon-calon sebelum ini hanya pandai 'menanam tebu di bibir sahaja' tetapi tidak pandai merealisasikannya," katanya.


Ikuti perkembangan semasa #PRNJohor dan kenali calon anda menerusi pru.sinarharian.com.my


Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!