Runtuhan kuari: Anggota penyelamat cuba alih bongkah batu besar

Aidil Adlee ketika temui pemberita di lokasi kejadian di Keramat Pulai, Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands pada Khamis.
Aidil Adlee ketika temui pemberita di lokasi kejadian di Keramat Pulai, Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands pada Khamis.
A
A
A

IPOH - Usaha mengalih bongkah batu kuari besar dilakukan anggota penyelamat pada hari ketiga operasi mencari dan menyelamat dua mangsa yang tertimbus dalam runtuhan batu kuari di Keramat Pulai, Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands di sini pada Khamis.

Timbalan Komander Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Perak, Aidil Adlee Che Mee berkata, anggota penyelamat sepatutnya memulakan operasi pada jam 8 pagi Khamis, tetapi disebabkan hujan lebat ia terpaksa ditangguhkan.

Menurutnya, pada masa sama terdapat runtuhan bongkah-bongkah kecil batu kuari serta gelongsoran tanah di lokasi kejadian disebabkan hujan.

"Berpandukan nasihat pihak Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) menyatakan keadaan ini adalah tanda-tanda awal berlakunya runtuhan yang besar.

"Hasil perbincangan dengan pihak polis, JMG dan pemilik kuari, kita menjangkakan proses mengalihkan bongkah-bongkah besar di sektor yang telah ditetapkan boleh dilakukan pada jam 4 petang ini," katanya kepada pemberita ketika ditemui di lokasi kejadian pada Khamis.

Aidil Adlee berkata, tindakan mengalih bongkah-bongkah besar itu dilakukan bagi memberi laluan kepada Unit Anjing Pengesan (K9) masuk ke lokasi terakhir mangsa tertimbus berada bersama-sama mangsa yang terselamat.

Beliau berkata, langkah-langkah keselamatan akan diambil berpandukan nasihat JMG sepanjang operasi pengalihan bongkah besar tersebut.

Menurutnya, JMG juga turut menggunakan alat Terrestrial Laser Scanner yang akan melihat struktur batu kapur sama ada berlaku pergerakan atau sebaliknya.

Artikel Berkaitan:

"Langkah ini dibuat bagi proses pengalihan bongkah batu yang besar tidak mendatangkan risiko yang tinggi.

"Operasi ini akan dijalankan sehingga jam 6 atau 6.30 petang. Sekiranya cuaca hujan, operasi ini akan dihentikan serta-merta," katanya.

Dalam pada itu, Aidil Adlee berkata, pihak penyelamat akan memikirkan kaedah lain jika usaha mengalihkan bongkah batu tersebut tidak berjaya.

Katanya, antara langkah terakhir dengan menggunakan kaedah memecah bongkah besar tersebut kepada bentuk yang lebih kecil.

Pada Selasa, seorang lelaki Orang Asli antara dua mangsa yang dikhuatiri tertimbus dalam runtuhan batu kuari di Keramat Pulai, Simpang Pulai di sini.

Operasi mencari dan menyelamat mangsa, Itam Bah Lasoh, 43, manakala seorang lagi, Kheow Loo Siew Soon, 49 sedang dilakukan oleh anggota penyelamat.

Kedua-dua mangsa dipercayai pemandu jengkaut di lokasi kejadian manakala dua lagi pekerja yang terselamat tetapi mengalami kecederaan masing-masing berusia 35 dan 38 tahun.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!